Jumaat, 29 April 2011

Kau Yang Ku Sayang

Kau Yang Ku Sayang ~ 1

Episod 1

“JANGAN lupa dateline assignment minggu depan. Lambat… no excuse. Saya dah ingatkan awak semua hari ni.” Jelas suara Puan Sofia memberi ingatan, mengisi ruang bilik kuliah tengahari itu. Subjek History of Art and Architecture telah sampai ke penghujungnya. Kedengaran suara-suara student mengeluh. Lumrah hidup sebagai student universiti, sentiasa terikat dengan assignment.

Aku menyusun buku-buku dan kertas-kertas yang berselerak di atas meja. Lega rasanya hati kelas dah berakhir. Otak ini seakan-akan sudah membeku untuk menerima sebarang ilmu lagi. Buku-buku dan kertas-kertas kumasukkan ke dalam beg galas yang tersangkut di kerusi.

Dua orang sahabatku, Rohana dan Norlida yang berada di sebelah sudah bangun dari kerusi masing-masing. Aku turut bangun. Menggeliat kecil buat beberapa ketika. Sekadar meregangkan otot-otot yang kaku sejak dua jam yang lalu. Ku toleh kiri dan kanan memerhati rakan-rakan yang lain. Ramai yang telah meninggalkan bilik kuliah.

“Makan?” soal Rohana. Buku Islamic’s Architecture dan History of World’s Architecture yang setebal satu inci dan dua inci dibimbit di tangannya. Pandangan matanya dihalakan ke arah aku dan Norlida. Menantikan jawapan.

“Good idea. Perut aku dah berdondang sayang.” Sahut Norlida. Dia kelihatan masih sibuk mengemas barang-barangnya. “Dina? Are you coming?” soalnya kemudian padaku.

“Ikut aje.” Ringkas jawapanku. Kebiasaannya kami akan makan bersama-sama setiap kali tamat kuliah. Sambil menjamu selera kami akan berbincang tentang assignment dan nota-nota yang kami catatkan semasa tutorial. Beg galas berwarna hitam itu kusandang ke bahu. Kafeteria yang terletak di bahagian kiri universiti menjadi hala tuju aku dan rakan-rakan.

“Ana, kau punya design untuk residential area dah siap?” tanya Norlida ketika kami dalam perjalanan ke kafeteria.

“Aku? Macam tak kenal. Akukan sluggard. Tak main siap awal-awal ni.” ujar Rohana. Siapa yang tak tahu perangainya. Buat assignment atau project selalu lambat.  Lima atau enam hari lagi nak submit, baru terkocoh-kocoh nak buat. Yang peliknya, selambat-lambat dia buat pun, tak pernah pulak tak siap projek. Always on time. Bila ditanya siapa yang membantu, jawapnya… “Pak cik kat belakang rumah aku…” Ada ke patut?

“Kau Dina?” Soalan Norlida beralih arah. Kini aku yang menjadi sasarannya.

“Halfway through. Drawing and material dah siap. Cuma tinggal nak render and paste atas mounting board. Kau dah siap ke?” soalku kembali.

“Belum lagi.” Perlahan jawapan Norlida. Serentak Rohana berpaling ke belakang, memandang wajahku. Kami saling berpandangan. Ada senyuman ‘mengerti’ yang terlukis di bibir masing-masing. Patutlah…

“Banyak lagi ke tak siap?” Rohana bertanya. Seorang pelajar lelaki berjalan dari arah bertentangan. Rohana cepat-cepat bergerak kebelakang Norlida. Ruang corridor itu terlalu sempit untuk berjalan bergandingan berdua.

“Tak ada idea. Tak tahu nak design macam mana.” Nada suaranya kedengaran resah. Tak ada idea means tak ada design. Itu sudah pasti. Cuma tinggal seminggu sahaja lagi untuk presentation. Belum tentu sempat nak buat semuanya? Design, cari material, buat scetches, then drawing, rendering and then nak buat model lagi… Boleh berserabut kepala otak.

“Apa susah, kan bang Rafi kau ada, mintak tolong dia perahkan otak dia sikit. Bagi ideas kat kau. Kalau tak boleh gak, kau suruh dia compress sikit otak dia tu sampai keluar air, then kau minum. Aku gerenti… Puan Aida mesti bagi kau A+ untuk projek kali ni.” Usik Rohana sambil ketawa. Norlida sudah menarik muka empat belas. Tak suka dia di usik begitu. Aku turut sama ketawa dengan usikan Rohana.

“Ana, kau ingat pakwe dia tu macam pakwe kau si Azhar. Pakwe kau tu boleh la kau jack. Kalau pakwe Ieda ni, tak layan nyer dia. Sia-sia jer…” Sengaja aku membalas kata-kata Rohana. Bertambah-tambah panjang muncung Norlida. Daripada empat belas terus jadi dua puluh empat. Entah-entah lagi panjang daripada hidung Pinocchio. Boleh masuk Guinness World Of Record sekaligus Malaysia’s Book Of Record.

“Malas aku kawan ngan korang. Nak merajuk dah ni…” Norlida bersuara.

“Relaks la. Bawak-bawak bertenang. Orang kata kalau naik kereta, berhati-hati di jalan raya. Takut accident. Sama gak macam orang jalan kaki macam kita. Kalau hati dan minda asyik ingat Rafi, boleh accident gak. Boleh terbabas masuk longkang.” Semakin galak Rohana mengusik Norlida. Bertambah kuat pulak aku ketawa. Kesian member aku sorang ni, asyik kena ‘belasah’ aje.

“Kau tu Ana, bab mengusik orang nombor satu… kena batang hidung sendiri baru tau…” kataku pada Rohana. Selalunya jarang dia yang kena sebab aku dan Norlida tak berapa terror dalam bab usik-mengusik. Yang paling teruk kena, semestinya minah low ni, Norlida.

“Kena macam mana tu… bolehkah kiranya cik adik Hardina kita ni terangkan secara ringkas? Teringin juga hamba, cucu datuk Husin nak mengetahuinya,” balas Rohana. Dia cuba menahan senyum. Berpura-pura serius.

“Gatal… dah kemaruk sangat bercinta sampai ayat dah jiwang-jiwang. Geli hidung aku mendengar.” Aku cuba menampar belakangnya, tetapi dia terlebih dahulu berlari ke hadapan. Dia melepaskan tawa sambil membongkok. Bukunya diletakkan di atas lantai. Ditongkatkan tangannya di lutut. Seronok sangat ler tu, dapat lepas daripada aku. Ada ubi ada batas… tak ada ubi, tak adalah batasnyer…

Aku menghampiri Norlida yang sedang ketawa kecil melihat reaksi kami. “Kau jangan risau. Nanti aku dengan Rohana akan tolong apa-apa yang patut. Jomlah, kita penuhkan dulu tangki-tangki kita yang kosong ni.”

Dia mengangguk faham dengan ketawa yang masih bersisa.
Kau Yang Ku Sayang ~ 2
Episod 2

SUASANA di kafeteria sibuk dan riuh-rendah dengan suara-suara pelajar yang datang untuk menjamu selera. Aku meliarkan pandangan ke segenap ruang, mencari meja makan kosong. Tertancap mataku pada meja yang terletak di tepi tingkap. Pantas aku mengajak Rohana dan Norlida duduk di situ. Masing-masing meletakkan buku dan beg di atas meja.

“Aku nak gi order. Korang nak makan apa?” Aku menawarkan diri membeli makanan.

“Nasi goreng and orange juice.”

“Bihun sup plus sirap.”

Aku mengatur langkah ke kaunter pesanan. Diluahkan pesanan kepada pelayan yang bertugas lalu terus aku membuat bayaran di cashier. Kemudian aku menapak kembali ke meja makan. Tanpa berlengah, makanan yang terhidang terus dijamah. Disamping menjamu selera, kami berbincang mengenai tugasan yang baru diterima sebentar tadi.

Dalam asyik berbincang, telefon bimbitku berbunyi. Pantas diselongkar beg galas yang berada di atas kerusi. Telefon bimbit dicapai dan dikeluarkan. Nombor yang tertera di skrin telefon aku amati.

“Hello,” sapaku kehairanan. Nombor telefon itu tidak pernah didaftarkan didalam phonebookku. Siapakah gerangan si pemanggil?

“Har? Uncle Johan ni.” Si pemanggil mengenalkan dirinya tanpa perlu aku bertanya. Seolah-olah dia dapat membaca fikiranku.

“Siapa?” Sikapku yang teragak-agak untuk menjawab panggilan membuatkan Rohana bertanya.

“Ayah Zafir.” Dengan suara berbisik aku menjawab. Tidak mahu Uncle Johan terdengar. Bagaikan mengerti, Rohana meneruskan perbincangannya bersama Norlida. Aku kembali memusatkan perhatianku pada Uncle Johan.

“Ya, Har cakap. Kenapa uncle? Ada apa yang boleh Har bantu?” soalku dengan lemah lembut. Bakal ayah mertua, kenalah berlemah-lembut sedikit, bisikku bersama sebuah senyuman kecil di dalam hati. Sememangnya Uncle Johan telah mengetahui tentang hubungan aku dan Zafir. Sudah kerapkali aku bertemu dengan keluarga buah hatiku itu. Malah keluargaku juga turut mengetahuinya. Zafir pernah berkata, lebih baik jika hubungan kami diketahui kedua-dua keluarga, sekurang-kurangnya mereka tahu dengan siapa aku berkawan. Katanya lagi, dengan berbuat begitu, bermakna dia serius dengan perhubungan kami.

“Zafir. Dia pengsan kat pejabat. Sekarang ni ada kat HKL. Ada sesiapa beritahu Har tak?”

“Pengsan?” Ulangku agak kuat. Lututku terasa lemah tiba-tiba. Nasib baik tidak berdiri, kalau tidak, sudah lama agaknya aku terduduk di lantai kafeteria. Serta-merta dadaku berdebar. Apa yang dah terjadi?

Serentak itu juga, Norlida dan Rohana berpaling memandangku. Wajah masing-masing berkerut, penuh dengan tanda tanya. Perbincangan mereka yang rancak sebentar tadi terhenti.

“Bagaimana keadaan dia sekarang? Dah sedar ke, uncle?” Rasa cemas mula menguasai diri. Aku perlu tahu keadaan Zafir.

“Uncle on the way nak ke sana. Tak tahu lagi keadaan dia macam mana.” Uncle Johan bersuara tenang. Mungkin Zafir tak seteruk yang disangka, desisku di dalam hati.

“Thanks uncle kerana beritahu. Har akan ke sana as soon as possible. Jumpa di sana.”

“Okey. Uncle tunggu. Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam.” Segera talian kumatikan. Sepantas kilat, buku-buku dan barang-barang di atas meja, dikemas. Aku perlu ke hospital segera. Keadaan Zafir perlu diketahui.

“Kenapa Dina? Siapa yang sakit?” tanya Norlida tidak sabar. Mungkin reaksiku membuatkan dia tertanya-tanya. Rohana yang duduk di hadapan Norlida hanya menanti aku berkata sesuatu.

“Zafir. Dia pengsan kat office, sekarang ada kat HKL. Aku nak pergi tengok keadaan dia,” ujarku pantas tanpa memandang wajah Norlida ataupun Rohana. Beg sandang di galas ke bahu.

“Pergilah, Aku rasa, Zafir tak apa-apa kot. Kau jangan risau sangat.” Rohana cuba menenangkan perasaanku. Dia tak mahu aku terlalu risau agaknya. Yalah… macam-macam perkara boleh terjadi kalau fikiran tak tenang. Takutnya nanti, Zafir tak apa-apa, aku yang teruk.

“Aku pun harap macam tu,” Aku berkata. Hatiku kuat mengatakan Zafir hanya mengalami sakit biasa. Bukannya sakit teruk. Dengan tergesa-gesa, aku bergegas ke arah pintu keluar kafeteria, melintasi bangunan kuliah dan terus meninggalkan perkarangan universiti.

Kau Yang Ku Sayang ~ 3
Episod 3


~ Imbasan kenangan… (i) ~

“NAK pergi mana lagi?” soal Zafir padaku.

Lewat petang minggu itu aku dan Zafir keluar shopping bersama-sama. Menghabiskan sisa-sisa hari minggu. Sudah hampir 2 minggu kami tak bersua. Dia sibuk dengan kerjanya sebagai arkitek. Aku pula sibuk dengan assignment, project dan kuliah.

Mengingatkan dia bekerja sebagai arkitek membuatkan aku teringat kata-kata temanku dulu.

“Padanlah kau selalu dapat markah project tinggi… ada pakwe arkitek. Ada back-up.”

Waktu itu aku hanya ketawa mendengar kata-kata mereka. Benar aku mempunyai kekasih yang bekerja sebagai arkitek, tapi tak pernah aku meminta Zafir menolong aku membuat design atau drawing untukku. Apa gunanya dapat grade bagus, tapi bukan aku sendiri yang membuatnya. Nanti bila dah bekerja, tak tahu nak buat apa-apa.

“Kita round-round dululah. Awal lagi ni.” Balasku. Di tangan kanan terjinjing beg kertas. Selagi terdaya… satu pasaraya ni harus dijelajah.

      “Dah berkali-kali datang sini, tak puas-puas lagi ker?” soal Zafir dengan muka monyok. Tension kot! Lelaki bukannya suka sangat bershopping lama-lama. Kan bershopping tu lebih sinonim dengan perempuan. Lantaklah. Aku tak kira. Selagi tak ditawaf satu pasaraya ni, aku takkan balik.

“Kejap lagi lah. Bookstore kat atas pun tak pergi lagi.”

“Haaa… patah lah kaki macam ni. Apa kata Har pergi ground floor, ambilkan troli?” pinta Zafir tiba-tiba. Nak buat apa dengan troli, fikirku. Nak beli barang rumah? Aku bukannya kahwin lagi dengan dia.

“Nak buat apa? Bukannya kita nak beli barang rumah.”

“Fir nak duduk dalam tu. Then Har tolak, ok? Sakitlah kaki ni.”

“Tak naklah… Nanti orang fikir kita ni warga tanjung rambutan. Biar betul Fir…” Aku menyanggah. Berkerut keningku mendengar permintaannya yang tak masuk akal itu.

“Letihlah…” katanya dengan mimik muka penuh kasihan. Mesti nak mengait simpatiku, desisku dalam hati. Aku takkan terperangkap.

“Alah, jomlah.” Aku berusaha merayu.

“Hampir setengah daripada pasaraya dan shop kat sini kita dah pergi. Har nak beli apa lagi?” soalnya pula.

“Tengok apa-apa yang patut. Mana tahu ada benda interesting yang boleh dibeli.”

“Tak yahlah. Membazir…”

“Kalau tak nak pergi, Fir duduk sini. Biar Har pergi sorang-sorang.” Ujarku pantas lalu melangkah pergi. Malas nak merayu lagi. Macam aku tak boleh pergi sorang-sorang. Tak mati ler Encik Zafir, kalau awak tak ikut sama. Nanti kalau ada orang ngorat aku, baru padan muka. Gigit jari jelah masa tu… bebelku dalam hati.

“Har… nantilah. Merajuk pulak!”

“Har…” panggil Zafir lagi.

Tetapi aku tetap melangkah. Malas melayan panggilannya. Ku biarkan dia termangu-mangu di situ.

Kau Yang Ku Sayang ~ 4

Episod 4


~ Imbasan Kenangan (ii) ~

AKU membelek novel yang tersusun di kemas di atas rak dihadapan mata. Satu-persatu diperhatikan. Malangnya pemikiranku bukan pada novel yang terpampang disitu. Aku betul-betul marah dengan Zafir. Geram. Sakit hati. Semuanya ada. Kalau benar, Zafir tak nak temankan aku shopping, buat apa keluar? Ajak jalan lebih sikit, penatlah, sakit kakilah, semua ada. Bukan dia sorang yang letih, aku pun letih jugak. Itu baru jadi kekasih, kalau jadi suami… lagi banyak leter gamaknya! Sakit hati aku!

Hampir setengah jam aku berada di situ. Menunggu kelibat Zafir. Tapi bayang pun tak nampak. Letihlah aku nak terpacak kat sini. Nak keluar mencari Zafir, malu pulak rasanya. Aku yang merajuk sangat. Buatnya dia balik rumah terus, macam mana? Jadi statue tak diundanglah aku kat kedai ni nampaknya. Mana mamat ni? tak nak pujuk aku ke? Berbagai-bagai persoalan mengasak fikiran. Tertanya-tanya tentang lelaki itu.

Empat puluh minit menanti, kelibat Zafir tidak juga muncul-muncul. Terpaksalah aku mengalah. Aku memilih sebuah novel, Bukan Puteri Lindungan Bulan lalu kubawa ke tempat cashier. Selepas membuat pembayaran, aku melangkah ke arah pintu utama kedai.

Sebaik aku melangkah keluar, sekuntum bunga mawar merah menyapa pandangan. Zafir berdiri tegak dihadapan kedai, berselindung di sebalik bunga itu. Jantungku berdebar. Disuakan bunga itu kepadaku, sambil bibirnya menguntum senyuman lebar. Tidak kubalas senyumannya. Biar dia tahu aku sedang marahkannya.

“I’m sorry.” Ujarnya sepatah.

Aku berpura-pura tidak mendengar. Langsung tidak kusambut bunga mawar yang disuakan itu, walaupun dalam hati sebenarnya teringin untuk menyambut dan mencium bunga itu. Bunga kegemaranku. Pandanganku halakan pada orang yang lalu lalang di hadapan bookstore.

“I’m really sorry… and Fir dah buat decision.” Ujarnya lagi sambil teragak-agak.

Aku tertanya-tanya decision apa yang telah Zafir ambil. Mustahil nak break-up dengan aku. Setahu aku, Zafir selalu memberikan bunga sebagai tanda maaf. Setiap kali aku merajuk, Zafir akan memujuk dengan bunga mawar. Zafir memang seorang lelaki romantic dan tahu citarasaku.

Lantas aku bertanya “Decision apa?”

“Decision…” Zafir tidak terus menjawab. Sengaja membiarkan aku dalam kebingungan. “Nak temankan Har tawaf pasaraya. Bukan pasaraya ni saja… lima enam pasaraya lagi pun boleh. Sampai pagi esok pun tak apa. Fir sanggup. Patah kaki pun Fir redha. Pasal letih… lagilah Fir tak kisah. Asalkan Har gembira.”

Ketawa kecil tercetus di bibirku. Akhirnya aku tersenyum. Pandai sungguh Zafir memujuk. Hatiku yang tadi panas dah menjadi sejuk. Bunga mawar yang dihulurkan ku sambut. Kelopak bunganya kucium lembut. Bau bunga mawar memang wangi. Mmm….

Zafir tersenyum lebar melihat tingkahku.

= = = = = N = = = = =

KAMI berjalan di sekitar pasaraya sambil asyik memerhatikan deretan kedai-kedai yang ada di situ.

Tiba dihadapan butik pakaian pengantin, aku menghentikan langkah. Baju-baju pengantin yang dipamerkan di situ, menarik minatku.

“Teringin ke?” soal Zafir. Bibirnya tersenyum penuh erti.

“Tak. Cuma suka tengok baju-baju tu. Cantik!” kataku dengan senyuman melebar. Pada dasarnya, perempuan mana yang tak teringin nak pakai baju cantik masa hari perkahwinan. Semua orang teringin. Cuma aku malu nak mengaku pada Zafir. Nanti diingatnya aku dah tak sabar nak kahwin.

“Alah… tak nak ngaku. Tahun depan, Fir masuk meminang. Nak?” usul Zafir tiba-tiba.

Secepat kilat, aku menoleh kesisi memandang riak wajah Zafir. Merenung ke dalam anak mata lelaki itu. Ada riak kesungguhan dan ikhlas terpancar darinya. Serta-merta mukaku terasa hangat. Darah merah menyerbu ke muka. Dada mula terasa bergetar hebat. Ku alihkan pandanganku darinya. Malu nak menatap wajahnya lama-lama.

Hatiku berbunga bahagia. Terasa dunia ini indah dan berseri. Bunga-bunga cinta mula menghujani alamku. Indah saat ini lebih indah daripada saat aku menerima cinta Zafir dulu. Setelah lama menyulam kasih, mengait rindu, siapa yang tak mahu membina bahagia dengan orang tersayang.

Namun statusku sebagai seorang student segera membawa aku kembali ke alam nyata. Menghalang dari memikirkan soal perkahwinan buat masa sekarang. Aku perlu menghabiskan pengajian dahulu. Cepat-cepat aku bersuara, “Tahun depan? Orang belajar pun tak habis lagi, macam mana nak kahwin?”

“Masuk meminang jer. Tahun sekali lagi, baru kita kahwin. Setuju?” desak Zafir beria-ia.

Aku kehilangan kata-kata. Lidah terasa kelu. Berat bibir untuk bersuara. Zafir benar-benar maksudkan apa yang dikatakannya.

“Nak ker Fir… isteri macam Har ni? Masak pun tak dapat permit lagi…”

“Apa susah… lepas Har jadi isteri Fir nanti, Fir akan hantar Har sambung study. Jadi chef. Nak? Fir boleh gak makan sedap-sedap lepas tu.” Zafir cuba mencuit hidungku. Pantas aku menepis. Tak berapa gemar dilakukan sebegitu. Pantang diriku disentuh sesuka hati. Zarif memang arif akan hal itu. Namun kadang-kala dia masih mahu ‘mencuba nasib’. Selama dua tahun aku bercinta dengannya, boleh dikira berapa kali dia memegang tanganku. Itupun setelah dia bersusah payah merayu.

“Banyaklah… kalau dah jadik chef buat apa nak masak kat Fir, masak kat hotel lah. Jamu tourist ker, business man ker, baru glamour. Setakat belajar jadik chef sebab nak jamu Fir, buang masa.” Usikku nakal.

“Amboi-amboi… petahnya menjawab. Fir yang bayar duit. Firlah yang dapat untungnya, bukan hotel, tau!” Zafir membalas. Mukanya dimasamkan sedikit.

“Marah? Ish… ada orang marah. Merajuk pulak tu. Dah tua-tua merajuk, buruk tau!”

“Eleh, orang merajuk sikit… cakap buruk. Kalau dia merajuk sampai berjam-jam tu tak pe. Diskriminasi sungguh!”

“Perempuan lain. Lelaki lain… Bab-bab merajuk dengan perempuan dah sebati. Lelaki kalau merajuk tak macho.”

“Oh… jadi selama ni Har anggap Fir ni lelaki macholah?” tanyanya nakal. Keningnya diangkat sedikit.

“Perasan… masuk bakul angkat sendirilah tu! Muka tembok!” Mukaku mula memerah menahan malu.

“Muka tembok pun ada orang sayang. Ada orang rindu. Sampai tak boleh tidur malam selagi orang tak call. Betul tak?”

Aku sedar kata-kata Zafir itu terkena batang hidungku sendiri. Adat orang bercinta. Dua-tiga hari tak bersua, rindu mula mencengkam. Adakalanya Zafir sengaja tidak mahu menghubungiku setiap hari. Sengaja nak menduga hati dan perasaanku. Sengaja mahu mendengar aku meluahkan perasaan rinduku pada lelaki itu. Kadangkala aku tewas dan kadangkala aku mampu menahan rasa hati.

Hampir dua tahun aku bercinta dengan lelaki itu. Lelaki pertama yang berjaya mencuri hatiku yang satu. Sudah dikenali hati dan budinya. Sifatnya. Dan sesungguhnya aku amat menyayangi dan mengasihi lelaki itu. Segala impian dan harapan masa depan, telah kulakarkan dengan lelaki itu di sisi.

“Berangan!” kata Zafir tiba-tiba. Mengejutkanku dari alam khayalan.

“Mana ada!” dalihku pantas.

= = = = = N = = = = =

“Zafir!” Laung seseorang dari arah belakang. Pantas aku dan Zafir mengalihkan pandangan ke belakang. Kelihatan Fahmi dan Rizal, teman sepejabat merangkap teman baik Zafir sedang berjalan menghampiri kami yang ketika itu masih lagi di hadapan butik pakaian pengantin. Mereka berjabat tangan dengannnya apabila tiba di hadapan kami.

“Shopping?” Zafir menyapa mereka.

“Beli barang sikit. Kau orang berdua keluar shopping atau keluar date?” tanya Fahmi. Tersenyum dia memandangku. Aku membalas seadanya. Tangannya yang tidak membawa apa-apa barang dimasukkan ke dalam poket seluar. Rizal yang berdiri di sebelahnya, menjinjing sebuah beg kertas berwarna hijau dan merah.

“Shopping and date. Two in one. Aku tak beli apa-apa. Saja temankan Har beli barang.” Terang Zafir pada mereka.

“Aku tengok dari tadi kau orang berdua berdiri kat sini. Tengok apa?” soal Rizal. Dia menoleh memerhatikan kedai yang berada di hadapan kami.

“Oh... Bila harinya? Patutlah aku asyik terbau nasi minyak dari semalam. Ada petanda rupanya.” Fahmi dengan selambanya berkata. Aku mula terasa malu. Membahang rasanya kulit mukaku ketika ini.

“Kami bukan nak kahwin lagi. Saja je Har nak tengok baju pengantin tu. Cantik sangat.” Cepat-cepat aku menjawab sebelum mereka benar-benar berfikir yang kami berdua akan melangsungkan perkahwinan. Kalau betul ada jodoh antara kami, alhamdulillah. Tapi andai ditakdirkan jodoh kami tiada? Bukankah itu akan memalukan diriku sendiri?

“Tengah merancanglah ni. Aku suruh dia pilih baju biru laut tu tapi dia nak warna pink. Mana sesuai lelaki pakai pink. Macam pondan.” Zafir berkata, lain maksudnya daripada apa yang aku cakapkan tadi. Sekilas aku merenungnya tajam. Dia tersengih. Serta-merta aku menampar bahunya agak kuat. Dia mengaduh kesakitan.

“Merepek aje Fir ni,” marahku padanya.

“Aku tengah pujuk Har kahwin. Tapi dia tak nak. Macam-macam alasan yang dia bagi. Korang tolong nasihatkan dia sikit,” pintanya pada mereka berdua. Bahunya yang terkena tamparanku tadi digosoknya perlahan. Sakit agaknya.

“Apa tunggu lagi Har, terima aje. Zafir tu dah tak tahan nak hidup membujang.” Fahmi mengusik. Lagi bertambah-tambah merah rasanya pipiku waktu ini. Tebal setebal-tebalnya ku rasa kulit mukaku meregang. Di mana nak ku sorokkan mukaku? Tak tahu nak memandang ke mana, aku akhirnya menundukkan wajah.

“Kau ni cakap macam tu pulak. Malulah si Har ni,” kata Rizal kepada Fahmi. Ditolaknya bahu Fahmi sedikit. Zafir sudah ketawa kuat. Mendengar dia ketawa, berapi terasa hatiku. Seronoklah gamaknya! Buat malu aku saja!

Fahmi memang begitu, selalu mengusik. Perangainya serupa dengan Rohana. Dahulu, aku ingin juga menemukan mereka berdua. Mungkin mereka serasi bersama. Malangnya Rohana telah berpunya. Terpaksalah aku batalkan hasratku. Dengar-dengar khabar, Fahmi pun dah bertunang dua tiga bulan yang lalu.

“Anuar tak ikut sekali?” Zafir mengutarakan pertanyaan. Terus beralih dari topik yang kami bualkan tadi. Mungkin dia rasa aku tak selesa agaknya. Ataupun dia mula mengesan riak wajahku yang sedikit berapi. Baguslah… senang hatiku.

“Dia balik kampung, semalam. Malam ni baru balik sini.” Beritahu Rizal. Anuar juga salah seorang teman baik Zafir. Selalunya jika aku tidak keluar bersamanya, dia akan meluangkan masa bersama temannya yang bertiga ini. Bermain bola sepak, boling atau badminton. Mereka berempat memang gemar bersukan. Ada masanya aku akan turut serta dalam aktiviti mereka.

“Tak jadi The Three Stooges lah korang hari ni.” Pandai dia mengenakan teman-temannya, bisikku dalam hati.

Segera aku menyampuk, “Anuar tak ada, tak wujudlah The Three Stooges.” Aku berpura-pura berfikir sebentar sebelum berkata, “kalau Zafir tak ada, maka tak wujudlah The Teenage Mutant of Ninja Turtles or should I say… The Adult Mutant of Ninja Turtles?”

Aku ketawa melihat reaksi mereka. Terkejut amat bila mendapat gelaran baru.

“Har…” Zafir menjegilkan biji matanya padaku. Padan muka, pandai sangat mengata orang. Kena diri sendiri, baru tahu. Aku menyambung tawa di dalam hati.

Kau Yang Ku Sayang ~ 5
Episod 5

“KENAPA lama sangat?” Dengan suara cemas aku bertanya. Sudah hampir dua jam aku tiba di Hospital Kuala Lumpur. Ketika aku melangkahkan kaki ke ruang menunggu, kelibat Uncle Johan dan Aunty Zuraida sudah ada di situ. Kata Uncle Johan, sudah hampir dua jam Zafir di bawa masuk ke dalam emergency room. Mundar-mandir aku berjalan di hadapan emergency room hospital itu. Aku tak mampu berdiam diri.

“Mungkin doktor belum habis periksa dia lagi, agaknya,” ujar Uncle Johan untuk menenangkan hatiku dan Aunty Zuraida.

“Sejak akhir-akhir ni, auntie tengok Zafir macam tak sihat. Lemah tak bertenaga. Muka pucat. Badan pun dah kurus sikit. Auntie ingatkan mungkin sebab tekanan kerja. Tapi tak sangka pulak sampai boleh pengsan-pengsan.” Beritahu Aunty Zuraida.

“Har pun perasan auntie. Bila Har tanya, Zafir cakap sakit biasa aje. Dia ada jumpa doktor untuk checking. Doktor pun kata nothing serious.” Aku menambah. Sejak dua tingga minggu kebelakangan ini, Zafir sering kelihatan tak bermaya. Bila ditanya, katanya tiada apa-apa, cuma sakit biasa.

Beberapa minit seterusnya, kami masing-masing diam tanpa suara. Aku mengambil tempat duduk di atas sofa yang disediakan sambil mengetap bibir. Dalam perasaan debar yang menggila, aku menggengam erat tanganku. Seketika kemudian, aku bangun semula. Menyambung kembali aksi mundar-mandir yang terhenti sekejap tadi. Badanku mula terasa seram sejuk dan degup jantungku mula berlari laju.

Pintu emergency room ditolak dari dalam. Seorang doktor berbaju putih melangkah menghampiri kami dengan stethoscope di tangan. Tercatat nama Dr. Hadi di tag nama yang dipakainya.

Pantas Aunty Zuraida dan Uncle Johan berdiri.

Apabila berhadapan dengan pasangan suami isteri tersebut, doktor itu bertanya “Encik dan Puan ni, ibu bapa pesakit ke?”

“Kenapa dengan anak saya, doktor?” tanpa menjawab soalan Doktor Hadi, Aunty Zuraida terus mengajukan pertanyaan. Tergambar perasaan risaunya yang tidak terkata. Masakan tidak, anaknya sudah lama berada di dalam, sedangkan Aunty Zuraidah tidak tahu apa yang terjadi pada anak lelaki tunggalnya itu.

“Pesakit mengalami concussion.” Doktor Hadi memaklumkan. “Dia amat lemah dan kami terpaksa meletakkan kesnya dalam pemerhatian. Untuk malam ni, pihak kami terpaksa menahan pesakit untuk menjalankan pemeriksaan lanjut tentang penyakit yang dihadapinya. Pesakit telah pun dipindahkan ke wad. Tuan dan Puan bolehlah menjenguknya nanti. Tapi jangan lama-lama, pesakit perlu berehat.”

“Teruk ke penyakitnya, doktor?” soal Uncle Johan.

“Kami tak tahu lagi. Maaflah tuan, puan. Saya masih ada pesakit lain. Saya terpaksa minta diri.” Kata Doktor Hadi dan terus berlalu.

Aku terduduk di sofa. Lemah terasa segala sendi. Aku tertanya-tanya, apa yang terjadi pada Zafir? Macam-macam prasangka buruk mula bermain-main di fikiran. Cepat-cepat aku menangkis segala prasangka tersebut. Tidak dibiarkan terus bercambah di fikiran. Aku yakin Zafir akan selamat. Apa jua penyakitnya, pasti boleh diubati.

Aunty Zuraida mendekatiku. Di pegangnya tanganku erat, seolah-olah dia memerlukan kekuatanku pada saat itu. Pada saat-saat yang tidak diduga seperti itu. Lantas aku membalas genggaman tangan Aunty Zuraida, sebagai tanda menyatakan aku turut berkongsi perasaan yang sama. Bersama-sama berkeyakinan bahawa Zafir akan sihat. Akan kembali seperti dulu.
Sambil berpegangan tangan, aku dan Aunty Zuraida bangun, menuju ke wad yang menempatkan Zafir. Uncle Johan mengikut dari belakang.

Tiba di wad yang menempatkan Zafir, jururawat yang bertugas membenarkan kami melawatnya dengan syarat dia tidak diganggu.

Sebaik kaki melangkah ke dalam wad, mataku tertancap pada wajah Zafir yang terdampar di atas katil. Dapat aku rasakan genggaman tangan Aunty Zuraida semakin kuat mencengkam tanganku. Tak mungkin itu Zafir! Bisik hatiku. Muka lelaki itu kelihatan pucat dan tidak bermaya. Titik-titik peluh membasahi wajahnya walaupun bilik yang didiaminya agak sejuk. Matanya terpejam rapat. Dadanya beralun kecil. Zafir kelihatan amat lemah. Terasa bagaikan diriku tidak berpijak di bumi nyata. Sedaya upaya aku cuba bertenang.

Aunty Zuraida meleraikan genggaman tangan kami dan bergerak ke sisi Zafir. Dipandangnya wajah Zafir lama. Seolah-olah sudah bertahun tidak bertemu. Uncle Johan turut mengekori isterinya. Dia berdiri di sebelah Aunty Zuraida. Dan bahu isterinya itu dipaut perlahan-lahan.

Kau Yang Ku Sayang ~ 6
Episod 6

Rutin harianku telah berubah semenjak Zafir dimasukkan ke hospital. Kalau tidak terlalu sibuk dengan kuliah dan assignment, aku akan datang melawatnya. Membawa buah tangan, majalah, dan buku untuk Zafir mengisi masanya. Ada kalanya aku datang dengan ditemani Rohana dan Norlida. Kadang-kadang aku datang melawat bersendirian. Walaupun ada ketikanya aku penat dan letih yang teramat, tetapi aku gagahkan jua diri untuk meluangkan masa dengannya. Demi cintaku yang tak berbelah bahagi padanya.

Sepanjang Zafir berada di hospital, bermacam-macam jenis ujian pemeriksaan yang terpaksa dihadapinya. Penyakitnya juga masih belum dapat dikenalpasti. Aku semakin bimbang dengan keadaan itu. Zafir pula semakin hari, semakin tidak bertenaga, berat badannya susut secara tiba-tiba. Dan apabila aku meluahkan kebimbanganku padanya, lelaki itu akan berusaha menenangkan hatiku. Berbagai-bagai alasan akan diberikan. Mungkin dia tidak mahu aku terlalu memikirkan tentang dirinya.

“Bila Fir boleh keluar?” Entah kali yang ke berapa soalan yang sama meniti di bibirku. Setiap kali melawat Zafir, soalan itu tidak pernah lekang dari bibir ini. Perit rasanya menanti Doktor Hadi mengumumkan tarikh Zafir dibenarkan pulang ke rumah. Tanganku lincah mengupas kulit buah epal yang di bawa bersama sebentar tadi.

“Hmm… Fir tak tahu. Doktor tak cakap apa-apa pun.” Zafir yang sedang membaca majalah menjawab acuh tak acuh. Khusyuk dia membelek majalah di tangannya. Tubuhnya disandarkan di kepala katil. Kesihatannya hari ini lebih baik sedikit berbanding semalam.

“Har selalu lawat Fir ni, tak ganggu kuliah Har ke?” soal Zafir kepadaku yang duduk di kerusi pelawat. Majalah di tangannya ditutup. Kemudian diletakkan di sebelah. Diperhatikan aku yang sedang mengupas buah.

“Tak… kenapa? Fir tak suka Har lawat Fir selalu? Ke, ada orang lain yang Fir tunggu?” Aku bertanya selamba.

“Orang lain? Maksud Har?” tanya Zafir kehairanan.

“Mana tahu, spare tyre ke?” usikku.

“Spare tyre?”

“Har ni macam psychic plak. Boleh tahu fikiran orang. Ni mesti pakai spy ni! Jangan risaulah spare tyre Fir a.k.a bakal madu Har nanti takkan datang hari ni. Fir dah bagitau semalam yang Har datang hari ni. Dia takut terserempak dengan Har!” Balas Zafir bersahaja.

Bulat mataku merenung wajah Zafir. “Fir memang! Menanam tebu dipinggir bibir. Lain di mulut lain di hati.” Buah epal yang telah siap dikupas, ku letakkan di dalam pinggan plastik. Aku menarik muka masam. Pandanganku halakan ke luar jendela.

“Har yang cakap macam tu, kan,” ujar Zafir. “Bila Fir mengaku, Har marah. Kat hati ni, tak ada nama orang lain, cuma nama Har je tau!”

“Macam mana Har nak tau, betul ke tak apa yang Fir cakap?” soalku serius.

Zafir menggaru kepalanya yang tidak gatal. Berfikir-fikir sebentar.

“Buat macam orang dulu-dululah,” jawabnya setelah mendiamkan diri buat beberapa ketika. Entah apa yang difikirnya.

Aku mengangkat kening, tanda tidak faham.

“Ambil kapak belahlah dada…,” Terlepas tawa dari mulut Zafir.

Aku terdiam. Tidak langsung menyambut tawanya. Main-main, leterku di dalam hati.

“Eh, buah epal tu takkan nak letak kat situ jer. Fir nak makan. Har tak kesian kat Fir ker? Kempunan Fir nanti,” kata Zafir sambil memandang wajahku.

“Har…,” disebutnya namaku selembut yang mungkin. Ditenung wajahku lama.
“Merajuk ke?” tanya Zafir.

“Har…” Panggil Zafir lagi. “Pandanglah sini. Sorry.. Fir tak boleh nak bagi bunga nak pujuk Har. Kat sini tak jual. Bila Fir dah keluar dari sini nanti, I promise… I’ll buy you flowers. Cakap jer berapa Har nak. Sekuntum, dua kuntum, sedozen, Fir sanggup beli!” Cuba disentuhnya jari-jemariku.

Tiba-tiba aku tersenyum kecil.

“Tau takut! Main-main lagi kalau orang cakap.” Cepat-cepat aku melarikan tangan jauh daripada tangannya. Tak selesa rasanya berpegangan tangan di situ. Lantas aku mencapai buah epal lalu dipotong satu-persatu.

“Nasib baik. Har ni bukannya Fir tak tahu, kalau merajuk, jenuh nak memujuk.” Perli Zafir.

“Tak baik tau Fir mengata Har macam tu.”

“At least Fir mengata Har depan-depan.”

“Pandailah!”

Buah epal yang dipotong kuhulurkan padanya. Buah itu hanya dipandang oleh Zafir, tiada tanda-tanda dia akan mengambilnya.

“Eh, tadi beria-ia nak makan. Kempunan lah, itulah, inilah. Sekarang tak nak pulak?” Soalku dengan dahi berkerut. Ku tatap wajah Zafir. Sakit ke?

“Fir nak Har suap,” bisik Zafir perlahan sambil tersenyum.

“Manjanya… jangan nak mengada-ngada. Suap sendiri.”

“I’m sick. Tak boleh nak makan sendiri. Please…”

“Tak nak.”

“Please la sayang.” Rayu Zafir lagi.

“Tak nak. Tak payah nak bersayang-sayang. Kalau Fir panggil Har belian ke, emas, ke, honey ke, darling ke, baby ker, sweetie ke, sugar ke, still takkan dilayan.”

Zafir ketawa kecil. Aku tersenyum.

Pada ketika itu, terdengar ketukan di muka pintu. Pantas aku mengalihkan pandangan ke arah pintu yang terbuka. Doktor Hadi masuk bersama seorang jururawat. Di belakangnya, berdiri Aunty Zuraida, Uncle Johan dan Adrina. Melihat Doktor Hadi, terus aku berdiri. Sebuah senyuman kulemparkan buat doktor itu.

“Dah lama Har sampai?” tegur Aunty Zuraida setelah aku bersalaman dengannya dan Adrina.

“Pukul 3.00 tadi, auntie. Rina apa khabar?” soalku pada Adrina. Selama dia melawat Zafir, ini kali pertama aku berselisih dengannya.

“Baik, kak.” Balas Adrina. Gadis 15 tahun itu kelihatan cantik dan manis walaupun hanya berseluar jeans biru, berT-shirt putih dan bertudung bunga biru. Dialah satu-satunya saudara kandung Zafir.

“Saya dah dapat keputusan ujian awak, Zafir.” Doktor Hadi menyampaikan beritanya. Kesemua yang berada di situ menumpukan perhatian terhadap apa yang ingin disampaikan olehnya. Dadaku berdebar-debar menanti butir-bicara seterusnya. Tidak sabar rasanya menahan rasa hati ini yang meluap-luap ingin tahu.

“Pakar radiologi sudah selesai mengkaji gambar X-ray dan keputusan-keputusan ujian awak.” Doktor Hadi menghela nafas seketika. Fail yang berada di tangannya, dibuka. Dilihatnya seimbas lalu.

“Biarlah saya berterus-terang. Kami dapati awak menghidap cancer. Lebih tepat lagi, cancer tulang.”

Kata-kata Doktor Hadi membuatkan aku tergamam. Begitu juga Zafir dan ahli keluarganya. Masing-masing terkedu dan terkejut dengan berita yang baru diterima. Berita yang langsung tidak diduga oleh kami.

“Cancer?” Uncle Johan mengulangi apa yang disebut Doktor Hadi sebentar tadi. Jelas dia amat terkejut. “Tapi selama ni, dia sihat aje!”

Cancer? Perkataan itu berlegar-legar di fikiran. Aku bagaikan tak percaya. Benarkah? Tak mungkin! Jerit hatiku. Badanku terasa berpeluh tiba-tiba. Gementar menyerang seluruh tubuh.

“Simptom-simptom penyakit ni, memang jelas dialami oleh Zafir. Bengkak, berpeluh di waktu malam, demam, kekurangan berat badan, sakit di bahagian belakang, sakit tulang. Secara kasar, tanda-tanda penyakitnya sama dengan penyakit biasa, susah nak dikesan sebab itu pihak kami terpaksa jalankan berbagai jenis ujian untuk menentukan penyakit sebenar,” terang Doktor Hadi.

Suasana sunyi sepi seketika.

“Saya boleh pulih ke doktor?” Zafir bersuara tenang. Seolah-olah berita yang baru diterima langsung tidak memberi kesan padanya.

“Maafkan saya. Cancer awak sudah berada di tahap kritikal. Awak terpaksa menjalani pemindahan tulang sum-sum dengan segera. Tapi, untuk mencari penderma tulang yang sesuai dengan awak agak sukar kerana awak mempunyai jenis darah yang jarang dijumpai. Buat masa sekarang, awak akan menjalani chemotherapy untuk menghalang sel cancer daripada merebak sehinggalah kami dapat penderma yang sesuai. Jika tiada penderma yang sesuai dalam masa lima atau enam bulan dari sekarang, berkemungkinan besar peluang awak untuk hidup amat tipis.” Doktor Hadi bersuara tenang.

Dipandangnya wajah Zafir seketika sebelum menundukkan wajahnya.

Aunty Zuraida terjelepuk jatuh tapi sempat dipaut suaminya. Dipimpin isterinya ke sofa dan didudukkan. Uncle Johan turut duduk di sampingnya. Kata-kata perangsang diberikan untuk menenangkan hati isterinya.

“Tapi awak jangan mudah mengalah. Awak mesti kuat. Ajal maut di tangan ALLAH. Saya hanya memberitahu berdasarkan ilmu yang saya ada. Keputusan semua di tangan-NYA. Sama-samalah kita berdoa agar penyakit awak dapat diubati. Banyak-banyaklah bersabar. Ingat ALLAH selalu.” Tambah Doktor Hadi lagi.

Esakan kecil kedengaran dari mulut Adrina. Biarpun perlahan, cukup untuk aku menangkap esak tangis itu. Sebak hatiku tak terkata. Dan perlahan-lahan air mataku mengalir membasahi pipi. Walau sedaya-upaya aku cuba menahan diri dari menangis, aku tak berdaya. Segala kegembiraan yang dirasakan sebentar tadi bersama Zafir, hilang tiba-tiba. Yang tinggal kini hanyalah kesedihan.

Zafir hanya membisu tanpa kata.

= = = = = N = = = = =

Langkahku longlai memasuki rumah. Tak terdaya rasanya kaki ini untuk melangkah. Berita yang diterima sebentar tadi masih terngiang-ngiang di telinga. Sukar untuk ku mempercayainya. Tambahan pula bila Doktor Hadi meluahkan sesuatu yang tidak pernah kujangka akan terjadi kepada Zafir.

“Jika tiada penderma yang sesuai dalam masa lima atau enam bulan dari sekarang, berkemungkinan besar peluang awak untuk hidup amat tipis.”

Lima atau enam bulan? Kenapa terlalu singkat? Ya ALLAH… ujian apakah ini? Ujian untuk diriku atau untuk Zafir? Hati… tabahlah kau menghadapi ujian ALLAH.

Aku menghempaskan tubuh di sofa biru ruang tamu. Kupejamkan mata serapat-rapatnya, menghilangkan kekusutan yang melanda diri. Ku cuba sedaya upaya memadamkan ingatan di hospital lewat petang tadi. Selepas Doktor Hadi berlalu pergi, Zafir langsung tidak mahu bersuara. Aku tak tahu apa yang dirasakannya. Susah untukku selami isi hatinya. Kasihannya dia…. Sebak yang seakan mula terasa cuba kutahan. Wahai hati… jangan kau menangis… Ingatan… pergilah kau jauh-jauh dari fikiran ini…

“Dina, bila balik?” suara ibu mengejutkan aku yang hanyut di alamku sendiri.

Serta-merta mataku terbuka. Ibu memandang wajahku dengan riak hairan. Dia merenung jauh ke dalam anak mataku, cuba mencari sesuatu. Sudah pasti ibu hairan melihat mataku yang membengkak. Ah ibu… kau tak tahu apa yang terjadi.

“Kenapa ni?” Ibu mengambil tempat di sisiku. Dipegangnya tanganku sambil diusapnya perlahan-lahan. Mendengarkan suara ibu yang lembut bertanya dan tingkah laku ibu yang jelas membayangkan kerisauan hatinya, membuatkan hatiku tersentuh. Aku tak dapat bertahan lagi. Lantas aku memeluknya erat-erat. Air mata yang sedari tadi cuba ditahan mengalir jua.

“Zafir…” ujarku sambil teresak-esak. Hanya itu yang mampu kuluahkan.

“Kenapa dengan Zafir?” soal ibu. Diusapnya belakangku perlahan-lahan. “Dina dah putus hubungan dengan dia?”

Aku menggeleng.

“Dia sakitkan hati Dina?” soal ibu lagi.

Aku menggeleng lagi.

“Dina sakitkan hati dia?”

Pun aku menggeleng. Hanya esak tangisku yang kedengaran. Bagaimana mahu aku khabarkan padamu ibu? Aku takut untuk memperkatakan tentangnya.

“Habis tu, kenapa? Cuba Dina beritahu ibu. Mana tahu kalau ibu boleh tolong.”

Aku cuba bertenang. Ku gagahkan jua diri ini mengkhabarkan pada ibu berita aku terima di hospital. Aku meleraikan pelukan. Wajah ibu kuperhatikan.

“Zafir menghidap kanser,” ujarku penuh lirih. Terluah jua ayat itu dari mulutku.

“Innallillahhiwainnalhiroji’un.” Ibu mengucap panjang.

“Kata doktor, kalau tak ada penderma tulang sum-sum dalam 5 atau 6 bulan akan datang, peluang untuk Zafir hidup, tipis.” Luahku lagi.

Terus ibu menarik aku ke dalam pelukannya semula. Dipeluknya aku seerat yang mungkin. Diusapnya kepalaku yang bertudung dengan penuh kasih sayang. Aku benar-benar terharu. Perlakuan ibu memberikan aku sedikit kekuatan untuk menghadapi dugaan yang melanda kala ini.

“Ibu nak Dina banyak-banyak bersabar. Selalu berdoa pada ALLAH. Jangan ikutkan hati sangat. Insya-ALLAH, ibu yakin Zafir akan selamat.” Nasihat ibu menusup masuk ke telinga.

Kau Yang Ku Sayang ~ 7
Episod 7

“Dina, kenapa diam aje dari tadi?” soal Rohana kepadaku ketika kami sedang mengulangkaji pelajaran di perpustakaan universiti. Peperiksaan akhir semester akan berlangsung kurang dua minggu dari sekarang. Aku perlu bijak membahagikan masa antara Zafir dan pelajaranku.

Aku tersenyum kelat. “Tak ada apa-apalah. Tak ada mood kot.”

“Kau fikirkan Zafir ke?” Norlida pula bertanya. Dia yang sedang mencatat sesuatu di atas notepad, mengerlingku sekilas.

Aku tak pasti samada mahu berpura-pura ketawa, menyembunyikan rahsia hatiku atau terus mendiamkan diri. Belum kukhabarkan pada rakan-rakanku ini tentang penyakit Zafir. Patutkah aku memberitahu mereka? Bingung otakku memikirkannya. Kalau boleh, biarlah kusimpan semuanya sendiri. Aku tak nak menyusahkan mereka.

“Dina…” panggil Rohana sedikit kuat, mengejutkanku dari lamunan. Norlida terus menghentikan tugasnya. Pen ditangan diletakkan di atas meja. Kedua-duanya memandang ke arahku dengan pandangan serius.

“Apa?” soalku sepatah. Aku merenung buku Tamadun Islam yang terbuka luas di hadapanku. Rohana pantas menarik buku itu dan menutupnya. Diletakkan buku itu di sebelah. Aku terkejut dengan tindakannya yang tiba-tiba. Dia merenungku tajam.

“Spill it out.” Suaranya kedengaran mengancam.

“Spill what?” soalku kembali, pura-pura tidak mengerti.

Rohana mendengus kasar. “Your problem.”

“Mana aku ada problem.” Dalihku. Aku mengambil pen merah di atas meja. Memutarkannya di jari kananku.

“Jangan nak berlakon lah Dina. Kat sini tak dapat award. Kalau nak sangat berlakon, pergi Hollywood. Tak pun kalau nak yang dekat sikit, pergi jer Bollywood.”

Ketawa kecil terletus dari bibirku mendengarkan kata-kata Rohana. Dia memang tak boleh nak serius langsung. Lega hatiku seketika. Sekurang-kurangnya dengan adanya mereka berdua di sisi, aku dapat melupakan masalahku buat seketika.

“Come on Dina. Tak syoklah kau buat macam ni.” Rayu Rohana lagi.

Aku menarik nafas panjang. Menyediakan diriku untuk berkata-kata. Selagi aku tak meluahkan masalahku, mereka tak akan berhenti bertanya. Lebih baik aku berterus-terang.

“Zafir menghidap cancer tulang.” Kataku satu-persatu. Ku lepaskan nafasku sekali lalu.

“What?”

“Apa?”

Serentak mereka bertanya.

“Are you sure?” soal Norlida.

Aku memberanikan diri menatap wajah mereka. Janganlah aku break down dalam library ni, pintaku dalam hati. Aku berpura-pura ketawa.

“Takkan aku nak buat cerita cam ni.”

Kedua-dua temanku itu merenung wajahku dengan reaksi pelik. Hairan aku dibuatnya.

“Kenapa?” tanyaku ringkas.

“Kau ketawa.” Ujar Norlida. Keningnya diangkatkan sedikit.

“Aku tak boleh ketawa ke?”

“Kau sepatutnya muram, sedih, menangis, sekarang. Bukan ketawa.” Rohana menjawab.

“Zafir akan pulih tak lama lagi. Tak ada apa yang nak aku risaukan.” Terangku pada mereka. Hakikatnya jawapanku itu lebih kepada untuk menenang dan menyakinkan diriku sendiri. Tiap malam aku berdoa kepada ALLAH, moga-moga Zafir sembuh kembali. Hatiku juga sedikit sebanyak semakin tenang sekarang.

= = = = = N = = = = =

Kusangkakan keceriaan dan kegembiraan akan tetap mengiringi hidupku. Rupa-rupanya aku telah tersilap perkiraan. Tak pernah terlintas di hatiku kesan yang akan dialami oleh Zafir akibat Chemotherapy. Belas hatiku melihat keadaannya. Dia asyik muntah tanpa henti sehinggakan kulitnya menjadi pucat lesi. Seleranya juga telah hilang. Tetapi doktor dan jururawat seringkali memaksanya menjamah makanan. Tak sampai hatiku melihat keadaan dia begitu. Mengapa mereka memperlakukannya sampai begitu sekali? Tiada perasaan belaskah di hati mereka?

Beberapa minggu selepas itu, rambut Zafir mulai gugur. Semakin hari semakin banyak. Pertama kali melihatnya, aku terkejut. Sedaya upaya aku cuba sembunyikan rasa terkejut itu. Aku juga terpaksa berpura-pura mengatakan bahawa Zafir kelihatan lebih sihat walaupun pada hakikatnya tidak. Pada pemerhatianku, wajah Zafir nampak lebih cengkung, rambutnya semakin menipis dan cahaya mukanya mulai pudar. Tiada lagi seri di wajah itu seperti dahulu. Adakalanya aku rindukan saat-saat aku meluangkan masa bersama-sama dengannya. Seperti di kala waktu Zafir sihat dahulu.

Setiap kali mengingatkan dia, hatiku menjadi pedih dan seperti biasa air mata akan mengiringi kepedihan yang kualami. Hatiku semakin gusar memikirkan tentang dirinya. Selera aku juga telah hilang. Setiap apa yang kujamah terasa bagaikan duri tajam yang mencucuk-cucuk ruang tekak. Kata ibu, abah, kakak, abang dan kawan-kawanku, berat badanku menyusut. Benarkah? Aku sendiri tidak pasti.

Pernah juga Zafir menegur tentang keadaan diriku. Marah benar dia bila melihat diriku semakin kurus. Macam-macam yang dikatakan padaku. Usah risaukan dirinya, jaga kesihatan diri… tapi mana mungkin aku berbuat begitu sedangkan dia terlantar kesakitan. Semenjak ‘leteran’nya yang terakhir, dapat aku rasakan kedinginannya menyambut kedatanganku setiap kali aku melawatnya. Dia sudah mulai berubah. Jarang dia melayanku seperti dulu. Kadangkala aku kecil hati dengan sikapnya.

Kau Yang Ku Sayang ~ 8
Episod 8

Petang itu, aku melawat Zafir seperti hari-hari sebelumnya. Sebaik menolak daun pintu bilik Zafir, kelihatan kelibat lelaki itu sedang duduk disisi tingkap. Asyik dia merenung pemandangan di hadapan.

“Assalamualaikum.”

Zafir menoleh memandang ke arahku sekilas. Kemudian dia kembali memusatkan pandangannya ke hadapan.

“Waalaikummussalam.” Jawabnya dengan nada suara sedikit rendah.

“Har bawakan Fir sesuatu.” Aku bersuara dalam nada ceria. Sengaja aku menceriakan suara, walaupun pada hakikatnya aku rasa seperti mahu meraung di situ apabila melihat keadaan Zafir. Dengan berbaju hijau hospital tersarung di tubuhnya, rambutnya yang dahulu tebal semakin menipis, badannya yang kurus dan mukanya yang cengkung, cukup membuatkan hatiku dilanda kepiluan. Langsung tidak seperti Zafir yang dahulu.

Sedikitpun Zafir tidak berganjak dari tempatnya. Menoleh ke arahku pun tidak. Dapatku rasakan seolah-olah ada sesuatu yang membelenggu diri Zafir tika itu.

“Fir tak nak tengok?” tanyaku. Cuba menarik perhatiannya.

Akhirnya Zafir menoleh. Perlahan-lahan dia bangun melangkah ke arah katil. Dengan sekuat tenaga yang ada digagahkan dirinya memanjat katil. Dibaringkan tubuhnya di situ. Sedih aku melihatnya.

“Apa bendanya?” soal Zafir pendek. Riak wajahnya kosong. Tiada perasaan ingin tahu jauh sekali perasaan gembira menyambut kedatanganku. Aku sedikit terkilan.

“Our picture album. Saja Har nak kongsi kenangan kita dulu dengan Fir.” Perasaan terkilan yang hadir sebentar tadi cuba dibuang jauh-jauh.

Zafir diam seribu bahasa.

Album yang dipegang kuletakkan di atas riba Zafir. Helaian pertama kuselak. Terpampang gambar aku dan dia.

“Ingat tak gambar ni kita ambil masa konvo Fir. Masa tu baru 3 bulan kita declare. Sebenarnya time tu Har gugup nak berdiri sebelah Fir. Yelah…  baru kenal. Masa tu masih malu-malu gajah.” Aku bercerita mengenangkan kisah lalu. Diselitkan sedikit jenaka untuk menceriakan suasana yang seakan-akan dingin. Mengingatkan saat itu, terhias senyuman dibibir. Zafir tidak sedikit pun senyum apatah lagi ketawa dengan jenaka yang kubuat tadi.


Aku menyelak pula helaian kedua.

“Gambar ni… masa berkelah kat PD dengan kawan-kawan. Tengok… teruknya muka Har. Kerja Fir lah ni, berpakat dengan Ieda dan Ana, sapu icing cake kat muka Har. But inilah birthday gift yang paling bernilai buat Har. Celebrate the special day with you and our friends. Alangkah bagusnya jika kita boleh travel back to those times…” Tanpa henti aku bercerita, diiringi senyum yang mekar di bibir. Zafir langsung tidak bersuara. Hatiku mula dipagut sayu. Kenapa dengan Zafir? Kenapa senyap begini?

“Fir, kenapa?” soalku perlahan.

Terusan-terusan Zafir mendiamkan diri. Matanya hanya merenung album dihadapan tanpa perasaan.

Aku takkan mengalah, desis hatiku. Helaian ketiga album diselak perlahan-lahan.

“Kenduri abang.” Kataku sepatah. Terpampang di dada album, gambar aku dan Zafir dengan pakaian yang sama warna pada hari perkahwinan abang tujuh bulan yang lalu. Aku berbaju kurung peach. Zafir berbaju melayu peach juga, hingga ramai yang mengusik mengatakan mereka tersilap tengok pengantin agaknya. Kakakku dengan suaminya turut tidak mahu ketinggalan mengusik kami berdua.

“Sedondon… bagai pinang dibelah sepuluh. Sama cantik sama padan. Har ingat lagi apa yang akak cakap bila dia tengok kita berdua. Abang pun….”

“Har, could you please shut up!” jerit Zafir lantang.

Terkejut aku dengan reaksi Zafir. Bebola mataku lantas mencari sasaran anak mata Zafir.


“Please… don’t talk anymore. I don’t want to hear it. Har, lupakan segalanya. Lupakan Fir.” Suaranya kedengaran sayup-sayup di pendengaranku. Dadaku berdebar. Apa yang cuba Zafir sampaikan?

“Har baliklah… Fir tak nak jumpa Har lagi. Hubungan kita setakat ni saja. Tak payahlah susah-susah Har datang melawat lagi.”

Mataku mula terasa berkaca. Sesaknya dada. Sebaknya hati ini. Benarkah apa yang aku dengar? Tak mungkin! Tak mungkin! Jerit hatiku berkali-kali.

“No… I won’t. Har takkan tinggalkan Fir. Setelah apa yang kita kongsi bersama, Har takkan tinggalkan Fir dalam keadaan Fir begini. Not now, not ever.” Kataku dengan suara bergetar.


“I don’t need you anymore. Fir masih ada parents yang boleh jaga Fir.”

“Please Fir, jangan cakap macam ni. Har tak boleh terima.”

“Har mulakan hidup baru. Hidup tanpa Fir. Tak guna Har tunggu, buang masa saja.”

“Tak nak. I wanna be by your side. Always. Please Fir.” Tak putus-putus aku merayu. Dadaku sudah tak tertahan menahan sebak yang semakin mencengkam.

“No. Just go Har. Go. Leave me alone. Fir tak nak tengok muka Har kat sini.” Jerit Zafir lantang. Bergema suaranya di ruang sunyi itu.

Terkedu aku mendengar jeritan lantang Zafir. Pantas aku berdiri. Sampainya hati dia menengking aku begini. Selama ini tak pernah sekalipun dia meninggikan suara padaku. Walaupun aku tahu sikapku yang mudah terasa adakalanya mencabar kesabarannya.

Biarlah aku pergi buat sementara waktu, apabila Zafir sudah bertenang nanti, aku akan kembali. Fir, kenapa buat Har begini? Soalku di dalam hati. Tanpa sedar, air mata menitis satu-persatu. Perlahan-lahan membasahi pipi. Cepat-cepat aku menggalas beg lalu berlari keluar dari situ.

Diluar bilik Zafir, aku menghamburkan segala kesedihanku semahu-mahunya. Bagiku, walaupun Zafir tidak sudi menemui diri ini, aku tetap tak akan berganjak demi cintaku padanya. Aku mahu sentiasa berada di sisi Zafir. Bersama-sama berkongsi kesakitan dan penderitaannya.

Aku duduk sebentar di kerusi yang tersedia di ruang koridor hospital. Tak berdaya rasanya kakiku mahu melangkah.

Setelah tenang seketika, aku mengesat air mata dengan hujung jari dan dengan lemah longlai, aku melangkah pergi dari situ. Dalam hati aku tetap tertanya-tanya, apa sebabnya Zafir berubah sebegini rupa?

= = = = = N = = = = =

Aku termangu di hadapan cermin. Memerhatikan wajah yang agak cengkung. Pucat tidak berseri. Kedua-dua belah pipi kupegang. Tiada lagi isi di situ. Hanya tulang-temulang yang tinggal. Sudah hampir dua minggu aku tidak melawat Zafir. Walaupun keinginan meluap-luap untuk bertemu Zafir, aku takut kesihatan Zafir terganggu dengan kehadiranku nanti. Biarlah ditunggu seminggu dua lagi.

“Dina, telefon,” laung ibu dari tingkat bawah.

Segera aku keluar dari bilik menuju ke ruang rehat keluarga. Gagang telefon berwarna kuning yang terletak di atas meja sisi, diangkat.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam.” Jawab suara di sebelah sana. Kenal benar aku dengan suara itu. Adrina. Apa yang hendak dikhabarkan gadis itu padaku? Adakah….?

“Akak, kenapa tak datang melawat abang?” tanya Adrina dengan suara yang sedikit serak.

“Rina, kenapa? Kenapa dengan abang? Ada apa-apa yang terjadi ke?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut. Aku dilanda cemas.

“Abang semakin lemah. Doktor cakap, tahap kesihatan dia dah menurun. Dia asyik batuk aja. Makan pun dia tak nak. Kesian Rina tengok dia, kak.” Seketika kemudian terdengar sendu Adrina. Tersentuh hati ini mendengar esak tangisnya.

“Kenapa akak tak datang? Rina tahu sebenarnya abang jadi macam tu sebab dia rindukan akak. Datanglah kak. Jangan dengar apa yang abang cakap hari tu. Fikiran dia tak tenang masa tu. Please akak, datanglah.” Merayu-rayu Adrina memintaku melawat Zafir.

Perlukah aku pergi? Hatiku bagaikan ditarik-tarik untuk ke sana. Biarlah apa yang Zafir nak cakap atau jika dia nak marah sekalipun, aku tetap akan melawat lelaki itu. Aku nekad.

Kau Yang Ku Sayang ~ 9
Episod 9

 “I’m sorry,” Zafir bersuara lembut memohon kemaafan. Sebuah senyuman manis diukirkan untukku. Kerusi pelawat yang dikosongkan khas untukku, aku duduki.

“Aunty dengan Uncle keluar dulu, ya.” Uncle Johan memaklumkan. Dia melangkah pergi dengan diiringi Aunty Zuraidah di belakang. Meninggalkan aku berdua di dalam bilik itu bersama Zafir. Untuk memberi ruang buat kami berdua, mungkin. Aku mengangguk perlahan. Pandangan mataku mengiringi pemergian mereka.

Setelah pintu bilik ditutup, aku memusingkan wajah menghadap Zafir.

“Kenapa buat begitu?” soalku padanya. Mendatar sahaja nada suaraku. Terus-terusan aku merenung anak matanya. Meminta pengertian dan jawapan. Sesungguhnya aku benar-benar tak memahami kenapa dia sanggup mengusulkan perpisahan dahulu. Tak sayangkah dia padaku? Sudah hilangkah cintanya yang dia agung-agungkan dulu? Berubahkah sudah hatinya yang satu itu?

Zafir menundukkan wajah. Terdiam dia seketika.

“Fir tak mahu Har melihat diri Fir dalam keadaan begini.” Jawabnya perlahan. Dia masih lagi menundukkan wajah, melarikan anak matanya dari pandanganku.

“Keadaan ini? Maksud Fir dalam keadaan sakit?”

“Ya.” Sepatah dia menjawab. “Tak sanggup rasanya hati melihat Har turut terseksa. Menanggung seksa dan menderita kerana Fir. Setiap kali Fir tengok Har menangis, hati ni rasa terguris. Seringkali Fir menyalahkan diri sendiri sebab buat Har begitu. Semua yang Fir katakan dulu semata-mata untuk kebahagian Har.”

Ya ALLAH… kenapa dia sanggup berkorban begini? Membuat pengorbanan yang sia-sia. Takkan sekali-kali aku berpaling daripadanya. Takkan sesekali…

“Fir ingat Har akan gembira jika Fir berbuat begitu? Fir nak ke kalau Har bergembira dengan orang lain, hidup bahagia dan bercinta dengan lelaki lain selain Fir? Sanggupkah Fir menyaksikannya? Fir rela? Puaskah hati Fir kalau Har tinggalkan Fir menderita sendirian?” tanyaku bertubi-tubi padanya. Bergenang lagi air mata ini. Sampai bilakah air mata ini akan berhenti mengalir? Aku dah tak sanggup menanggung keperitan dan siksaan jiwa yang maha hebat ini.

“Tak.” Katanya ringkas. Dia mengangkat wajahnya. Matanya kelihatan berkaca. Menangiskah lelaki itu? Setitik… dua titik air mata mengalir di pipinya yang cengkung. Dikesatnya air mata dengan kain yang membaluti tubuhnya.

Tersentap tangkai hatiku melihat dia begitu. Segera aku mengalihkan pandangan. Tak tertahan rasanya hati melihat lelaki yang selama ini ku anggap bersemangat waja dan kuat menghadapi dugaan hidup mengalirkan air mata. Betapa lemahnya dia kini.

“Kenapa nak menyeksa diri sendiri seandainya Fir tak sanggup menanggungnya?” aku bertanya. Ku kesat air mata yang mengalir perlahan di pipi. Semudah itukah dia berfikir aku akan meninggalkannya? Aku bukan seorang insan yang kejam seperti yang dia sangka. Alangkah bodohnya dia seandainya dia beranggapan begitu, marahku di dalam hati.

“Sekarang Fir dah sedar. I’ve realized that I need you to be by my side. To help me pull through this circumstances. Fir tak sanggup kehilangan Har. Maafkan Fir di atas kata-kata Fir yang lalu,” pohonnya dalam suara yang bergetar. Menahan tangisannya.

“Har pun tak sanggup berada jauh dari Fir. Dua tahun kita berkawan, Har tak nak kita sia-siakan apa yang telah kita lalui bersama. Har nak kita sama-sama harungi ujian ni,” kataku padanya dengan setulus hatiku.

“Har maafkan Fir?”

“Har maafkan,” ujarku padanya.

Dia memejam mata seketika. Seolah-olah berpuas hati aku telah memaafkannya. Aku menganalisa dirinya. Zafir dulu dan Zafir kini bagaikan langit dengan bumi. Jauh berbeza. Keceriaannya dulu sering menemani hidupku. Membuatkan aku terasa bahagia disampingnya. Tetapi kini… keceriaan itu semakin lama semakin menghilang. Mungkin dugaan yang datang sekadar menguji sekuat manakah cinta kami berdua.

Aku harus kuat menghadapinya, aku harus kuat demi dirinya. Aku tak mahu dia mengalah sekarang. Bukan masanya lagi untuk dia berbuat begitu. Aku akan tetap memberikan dia sokongan dan dorongan sehingga dia pulih sepenuhnya. Aku akan membuatkan dia bahagia di sampingku, sepanjang hidupnya di atas muka bumi ini. Itu janjiku.

Kau Yang Ku Sayang ~ 10
Episod 10

Aunty Zuraidah menelefon dan mengkhabarkan padaku, Zafir telah dibenarkan pulang ke rumah. Dia akan di bawa pulang pada waktu tengahari. Sayangnya, aku tiada di KL waktu itu, jadi aku tak berkesempatan untuk menjemputnya. Aku terpaksa mengikut ibu dan abah pulang ke kampung bagi menghadiri kenduri yang diadakan oleh salah seorang saudaraku. Aku khabarkan pada Aunty Zuraidah bahawa aku akan datang melawat Zafir di rumah di sebelah petang, setelah aku kembali semula ke KL.

Aku tiba di hadapan rumah Zafir tepat pukul 6.00 petang. Kelihatan Zafir sedang berbual-bual dengan Adrina di taman yang terletak di hadapan rumah.

“Assalamualaikum.” Aku memberi salam.

“Waalaikummussalam.” Kedua-duanya menjawab serentak. Perbualan mereka terhenti seketika. Bibir masing-masing terukir dengan senyuman.

“Kak Har, duduklah.” Pelawa Adrina. Zafir hanya mengarahkan aku duduk dengan anak matanya.

Aku mengambil tempat bersebelahan dengan Adrina.

“Akak duduk dulu. Rina buatkan minuman,” ujar Adrina lalu meninggalkan kami berdua di situ. Aku hanya mengangguk.

Kesempatan yang ada aku ambil dengan merenung Zafir sepenuhnya. Aku perhatikan keadaan dirinya yang tidak berubah walaupun sedikit. Tetap seperti kali terakhir aku melawatnya.

“Macam mana? Sempurna tak muka Fir? Satu mulut, satu hidung dan dua biji mata?” soalnya tiba-tiba. Tersentak aku dibuatnya. Rupa-rupanya dia perasan aku sedang meniliknya. Lantas kuhadiahkan sebuah senyuman yang paling mekar buat tatapannya.

“Macam pernah dengar ayat tu, tapi di mana ya?” soalku. Aku meletakkan jari-jemari di dahi sambil berfikir-fikir sebentar. “Ha… baru ingat. Winter Sonata kan?”

Dia tersenyum lebar. “Pandai.”

“Tengok oranglah,” selamba aku berkata.

“Hantu tv, mestilah tahu!” Zafir bertanya lagi. “Teka… ayat ni dari drama mana? Perempuan bagaikan bunga. Tumbuhnya di bumi, menyebarkan keceriaan dan memberi kedamaian pada suasana alam.”

“Pride! Har tengok drama tu…”

Senyuman tidak lekang di bibirnya. Ditariknya sweater yang membaluti tubuhnya lebih rapat ke dada. Kebetulan petang ini, angin bertiup agak dingin. Matahari yang memancarkan cahayanya yang terang tengahari tadi, sudah menghilang di sebalik awan. Membuatkan suasana agak mendung.

“Fir ingat sangat ayat yang disebut Halu, kenapa?” soalku. Mesti ada sesuatu yang membuatkan dia mengingati ayat itu. Jarang manusia nak mengingat ayat-ayat di dalam drama melainkan ada sebabnya.

“Pada Fir, perempuan yang dimaksudkan dalam ayat tu, sesuai untuk Har. Sejak kedatangan Har, Fir rasa amat gembira dan bahagia.”

Aku terkesima mendengar kata-katanya. Tulus dan suci. Terdiam kami seketika.

“Tak ada teka-teki lagi?” Aku bertanya. Memecahkan suasana yang hening ini. Sekurang-kurangnya, dengan bermain teka-teki begini, hatiku sedikit terhibur.

Direnungnya awan yang bergerak perlahan di dada langit. Mencari ayat-ayat drama barangkali… Untuk diperdengarkan padaku.

“If you jump, I’ll jump?” Ayat itu terluah di bibirnya.

Aku ketawa kecil. Ayat tu, semua orang tahu. Budak kecik pun tahu. “Kacang jer… Titanic.”

Tiba-tiba dia merenung ke dalam anak mataku dengan pandangan yang lunak. Terkedu aku seketika dengan renungannya. Tawaku mati.

“Will you jump, if I jump?” Nada suara Zafir berdesir perlahan. Menggetarkan jiwa dan naluriku. Kenapa tiba-tiba dia bersikap romantis? Adakah dia gembira kerana dibenarkan pulang? Aku tahu dia pasti inginkan aku mengatakan apa yang ingin didengarnya. Malangnya dia tersilap pilih hari dan tempat.

“Kalau setakat jump untuk exercise, okey gak. Tapi… kalau nak jump dari kapal macam dalam titanic tu, tak naklah. I’m too young to die.” Aku tersengih nakal.

Terkejut dia dengan jawapanku itu. Lain daripada apa yang dia harapkan.

“Kenakan Fir yer?” Dia turut tersengih merenungku.

Bahagianya aku rasa saat ini. Bergurau senda dan ketawa bersamanya. Keceriaan yang telah lama hilang, muncul kembali dalam diriku.

“Fir nak mintak maaf sekali lagi. Sebab marah dan tengking Har dulu. Rasanya rugi aje Fir buat begitu,” luahnya perlahan.

“Betul. Memang rugi. Rugi air mata Har, rugi diri Fir sendiri. Dua minggu Har tak ada di sisi.” Aku mengiakan.

“Har menangis sangat ke masa tu?”

“Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu. Sedih tau Fir buat macam tu. Suka-suka hati je halau orang. Macam Har ni tak ada perasaan.”

“Fir minta maaf. Benar-benar minta maaf. Fir dah sakitkan hati Har.” Diulangi kemaafan dengan bersungguh-sungguh.

“Dahlah. Tak yah nak ingat lagi, benda dah lepas… lagipun Har takkan biarkan Fir sendirian menanggung penderitaan. Tu lah, berlagak sangat, konon-konon macho, kuat, boleh hidup tanpa Har. Alih-alih diri sendiri yang merana. Hah… lain kali buatlah lagi.” Sengaja aku mengusiknya.

Kami sama-sama ketawa.

Saat itu, Adrina tiba dengan dulang berisi minuman ditangan. Diletakkan di atas meja taman yang berwarna hijau tua itu.

“Seronok nampak,” katanya seraya duduk di kerusi yang ditinggalkan tadi. “Borak apa?”

“Borak pasal hero yang nak jadi superman… tapi belum terbang dah jatuh.” Perliku pada Zafir. Dia menjegilkan biji matanya memandangku. Adrina mengerutkan dahi tanda tidak mengerti. Aku ketawa melihat reaksi mereka berdua.

“Cerita kat tv minggu lepas. Mungkin Rina tak tengok agaknya,” segera aku berkata. Tidak mahu Adrina terus tertanya-tanya.

Dia hanya mengangguk. Dituang air sirap ke dalam gelas lalu disuakan padaku.

“Minumlah,” pelawanya.

Aku menghirup perlahan air sirap itu. Membasahkan tekak yang hampir kering akibat terlalu banyak bercakap sebentar tadi.

Suasana sunyi seketika apabila masing-masing mendiamkan diri. Sebenarnya, aku ingin bertanya pada Zafir kenapa dia dibenarkan pulang. Selagi dia tidak menjalani pemindahan tulang, dia sepatutnya berada di hospital. Menjalani rawatan sementara menanti penderma yang sesuai. Aku takut seandainya dia berada di rumah, penyakitnya akan bertambah teruk.

“Kenapa doktor benarkan Fir pulang?” Aku memberanikan diri bertanya.

“Doktor cakap…”

Sebelum sempat Adrina menghabiskan ayatnya, Zafir pantas memotong.

“Fir dah okey sikit. So, tak perlu tinggal di wad lagi. Tapi Fir masih perlu berulang-alik ke hospital untuk menjalani rawatan hingga ada donor yang sesuai.”

“Ya?” soalku seakan tidak percaya.

Zafir mengangguk. Senyuman indah terhias di bibirnya.

Riak wajah Zafir jelas menyakinkan aku tentang apa yang diucapkannya. Maknanya harapan Zafir untuk sembuh semakin cerah. Serta-merta hatiku berbunga indah. Gembira dengan berita yang disampaikan Zafir. Ya ALLAH… sesungguhnya aku bersyukur pada-MU.

Kau Yang Ku Sayang ~ 11
Episod 11

Kusangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan ditengahari. Panggilan dari Uncle Johan sebentar tadi benar-benar menyebabkan aku terkedu di sofa ruang tamu. Entah berapa lama aku terduduk kaku di situ, takku sedar. Ya Allah… ujian-Mu datang lagi menduga hati insan yang lemah ini…

Zafir yang kusangkakan akan kembali sihat setelah hampir 2 minggu berada di rumah, telah dimasukkan ke hospital semula. Dia mengalami kesesakan nafas ketika sedang makan malam di rumah. Rasa bersalah mula menyerang jiwa. Hampir seminggu aku tidak melawatnya di rumah. Aku terlalu sibuk dengan research untuk final project bagi semester akhir aku di universiti. Hanya melalui telefon, aku bertanyakan khabarnya. Terasakah dia? Adakah kesihatannya berubah kerana aku tidak melawatnya? Ah… bingungnya aku saat ini. Hatiku dipagut bimbang. Akan berulang kembalikah episod duka lalu? Harapanku tidak. Biarlah apa yang terjadi ini hanya sementara.

“Dina nak pergi sekarang?” Abah yang telah siap menukar pakaian bertanya.

Aku mengangguk perlahan. Telah ku maklumkan pada ibu dan abah tentang keadaan Zafir. Mereka juga terkejut mendengar perkhabaran terbaru ini. Pada mulanya aku mengambil keputusan untuk memandu sendiri ke hospital. Tetapi abah menghalang. Sebab pertama, kerana fikiran aku tak tenteram dan kedua, waktu sekarang sudah lewat malam. Dia risau sekiranya terjadi sesuatu padaku. Untuk tidak menghampakan aku, abah menawarkan diri untuk membawa aku ke sana. Ibu juga ingin turut serta melawat Zafir. Lantas kami pergi bersama-sama.

Sepanjang perjalanan ke hospital, aku mendiamkan diri. Aku merenung ke luar tingkap cermin kereta merenung dada langit yang hitam pekat. Segelap hatiku kini. Tiada rembulan yang sudi menyinarkan cahayanya di malam yang sepi. Tiada juga bintang yang sudi memancarkan cahaya. Kenapa di kala hatiku dilanda kerisauan, tiada bintang dan bulan yang sudi menemani? Memberikan sinarnya walaupun sedikit buatku menghilangkan sedikit resahku?

Aku menghela nafas berat. Hingga ke hari ini pihak hospital masih tidak dapat mencari penderma tulang sum-sum yang sesuai. Sampai bilakah lelaki itu harus menanggung kesakitan? Harus menderita? Aku risau seandainya Zafir… Pantas aku menggelengkan kepala. Aku tidak mahu memikir tentang hal itu. Insya-ALLAH Zafir akan pulih, bisikku berkali-kali.

Benakku yang sarat tentang persoalan kesihatan Zafir mengheret aku melangkah lebih pantas menghala ke arah kaunter pertanyaan. Kutinggalkan abah dan ibu di belakang. Setelah dimaklumkan nombor bilik Zafir, segera aku menghayunkan langkah ke bilik tersebut.

Uncle Johan sedang berdiri di ruang corridor ketika aku tiba di situ. Segera aku menghampirinya.

“Zafir dah okey?” soalku pada Uncle Johan. Di wajahnya tergambar seribu kerisauan.

“Dia masih susah nak bernafas. Doktor terpaksa pasang alat bantuan pernafasan.” Terang Uncle Johan. Abah yang tiba kemudian bersama ibu bersalaman dengan Uncle Johan.

Sudah teruk benarkah tahap penyakit Zafir? Sehinggakan terpaksa diberi alat bantuan pernafasan? Aku tertanya-tanya.

“Boleh Har masuk tengok dia?” soalku tidak sabar. Aku ingin melihatnya dengan mataku sendiri.

“Doktor hanya benarkan dua orang pelawat sahaja pada satu-satu masa. Aunty Zuraida dengan Adrina ada di dalam. Har kena tunggu mereka keluar dulu.”

Aku mencapai tangan ibu yang berdiri di sebelahku. Ku genggam erat tangannya. Ibu membalas sambil mengusap jari-jemariku. Di saat ini, aku amat memerlukan kehadiran ibu. Untuk memberikan aku kekuatan dan ketenangan.

“Kenapa tiba-tiba Zafir sesak nafas?” Aku mendengar abah bertanya.

“Sebenarnya dah tiga hari dia begitu. Cuma tak seteruk hari ini. Tahap kesihatannya pun dah menurun. Kadang-kadang berjalan lima enam langkah saja, dia dah letih. Dah puas saya pujuk dia ke hospital, tapi dia menolak. Katanya nak tunggu sampai tarikh rawatannya. Yang dijadualkan lusa,” tutur Uncle Johan. Nada suaranya cuba di kawal.

“Masya-ALLAH.” Sepatah abah berkata.

Aku bagaikan mahu pengsan waktu itu. Segera ku leraikan genggaman tanganku dan bergerak ke arah Uncle Johan. Aku perlu meminta kepastian darinya.

“Betul ke uncle?” Aku perlu tahu perkara yang sebenar.

Uncle Johan mengangguk perlahan.

“Tapi kenapa Zafir tak pernah beritahu Har? Uncle, Aunty atau Adrina pun tak pernah khabarkan apa-apa, kenapa?” soalku lirih. Terasa diri ini sengaja di sisihkan.

“Zafir tak nak bebankan Har. Lagipun katanya Har tengah sibuk buat research untuk final project. Dia nak tengok Har berjaya habiskan pengajian tahun ni.” Aku menggelengkan kepala perlahan. Air mata mula bergenang. Lemah sendi-sendiku. Aku tak mampu lagi berdiri lantas aku menyandarkan tubuh di dinding. Zafir tahu dia sakit. Sengaja dia menipu aku setiap kali aku bertanyakan tentang kesihatannya.

“Berapa lama dia terpaksa bergantung pada alat tu?” tanyaku dalam sebak yang semakin mencengkam.

“Sabarlah Har! Masa uncle tanya nurse tadi, katanya alat tu untuk sementara saja. Untuk memudahkan Zafir bernafas.” Kemudian Uncle Johan menambah sambil cuba menahan perasaannya, “selagi dia bergantung pada alat tu, dia tak boleh bercakap. Doktor dah bagi ubat pelali pada dia.”

Ya ALLAH! Sekujur tubuhku kaku. Perasaan takut mencengkam tangkai hati. Takut kehilangan Zafir. Air mata yang bergenang sedari tadi semakin memberat, sedaya-upaya aku cuba menahannya daripada menitis.

Kau Yang Ku Sayang ~ 12
Episod 12

KEESOKAN harinya, Zafir sudah boleh bernafas seperti biasa. Alat pernafasan yang digunakan sejak semalam, telah ditanggalkan. Dia kelihatan teramat lemah. Pernafasannya bagaikan tersekat-sekat. Dia bagaikan sedang menanggung beban keperitan dan seksaan yang amat dashyat.

Sebaik dia terpandang aku melangkah masuk ke biliknya, segera dia menghadiahkan sebuah senyuman. Agak payah untuknya berbuat demikian namun digagahkannya juga. Aku tersenyum melebar sebagai membalas senyumanmya lalu mengambil tempat di kerusi yang biasa diduduki.

“I’m sorry.” Satu-persatu ayat diucapkannya dengan suara yang sedikit garau. Namun aku sedia maklum kerana telah diberitahu oleh jururawat yang tiub pernafasan yang dimasukkan ke dalam tekak Zafir akan memberi kesan pada suaranya.

“Har tak nak cakap pasal tu. Har maafkan.” Entah sudah berapa kali perkataan itu diucapkannya semenjak dia disahkan menghidap cancer. Dengan keadaan kesihatannya yang tak berapa memuaskan, aku tak mahu perkara semalam diungkit. Biarlah dia nak membohongiku tentang kesihatannya, aku rela. Bukan sengaja dia melakukannya. Aku tak mahu membebankan fikirannya dengan perkara remeh-temeh begini. Dia perlu banyak berehat.

“Kesian Har terpaksa berulang-alik ke hospital. Kalau sibuk tak payahlah datang.”

“Har tak peduli. Har nak jumpa Fir jugak. I miss you so much. Don’t you miss me?” Aku mencapai tangan Zafir lalu memegangnya. Aku mahu memberikan dia semangat dan kekuatan agar terus bertahan melawan penyakitnya.

Zafir tersenyum kecil. “Sejak bila pandai pegang tangan Fir ni? Tak takut dosa?”

Aku turut tersenyum. Entah mengapa hatiku tergerak untuk berbuat begitu. Ya ALLAH, ampunkan dosaku. Aku tak mampu menahan rasa hati. Dia amat memerlukan aku di waktu begini. Soalan Zafir dibiarkan tidak berjawab.

Hanya kami berdua berada di dalam bilik tersebut, tetapi aku tak tahu berapa banyak masa yang tinggal untuk kami bersendirian. Sekali-sekala jururawat bertugas akan keluar masuk ke dalam bilik untuk memeriksa keadaan Zafir. Sekilas ingatanku melayang mengingati pertemuan kami yang lalu. Di saat Zafir melamarku. Terlintas di hati ini untuk berbuat sesuatu.

“Kita kahwin?” ujarku tiba-tiba.

“Apa maksud Har?” Zafir terpinga-pinga. Nyata kata-kataku tadi langsung tidak disangkanya.

“Kita kahwin sekarang. Biar Har yang uruskan semuanya. Tak perlu majlis besar-besar… atau kita buat aje kat hospital ni kalau dah terpaksa. Tak sanding pun tak pe. Family Fir, family Har, Rohana, Norlida dan Anuar, Fahmi, Rizal, cukuplah. Mereka yang paling penting dalam hidup kita, dah ada mereka pun dah memadai.”

Bertalu-talu ayat keluar dari bibirku, meluahkan isi hati ini. “Kalau tak sempat nak buat baju akad nikah, pakai aja baju yang ada. Untuk makan-makan pulak, Har boleh buat kek dan makanan yang simple-simple. Kalau masak banyak-banyak, membazir pulak. Har masak sikit jelah. Buat menjamu selera lepas akad nikah. Then, bila Fir dah boleh keluar nanti kita boleh pergi honeymoon ke… mana hah? Alah… mana-mana jelah… Har tak kisah. Asalkan bersama Fir… lepas tu…”

Zafir mengangkat tangan kirinya dan diletakkan di bibirku. Menghalang aku dari terus berkata-kata. “Stop it, Har.”

Bicaraku terhenti. Suasana sunyi menyelubungi bilik itu secara tiba-tiba.

“Fir tak boleh kahwin dengan Har sekarang.”

Perasaan kecewa melanda diriku. “Tapi kenapa? Har cintakan Fir dan Fir pun cintakan Har. Apa lagi yang kita perlu?”

“Memang Fir cintakan Har. Dan sebab cintakan Har lah, Fir tak nak Har menjadi seorang isteri and widow at the same time.” Perlahan-lahan Zafir menuturkan ayatnya tanpa memandang wajahku. Dia merenung hujung kakinya. Tak sanggupkah dia melihat reaksiku?

“Jangan cakap macam tu! Doktor kan dah janji nak rawat Fir dan cari penderma tu secepat mungkin. Fir tak boleh mengalah. Tak boleh! Fir mesti kuatkan semangat.” Merayu-rayu aku kepadanya. Ngilu hatiku mendengar dia berkata begitu.

Zafir kembali memandang wajahku. Memandang dengan lembut. Pandangannya hampir membuatkan aku sebak. “I know why I’m having difficulty in breathing, yesterday.” Luah Zafir antara dengar dengan tidak.

Tak sanggup aku mendengarkan sebabnya. Selagi aku tidak mengetahui sebabnya, aku boleh membuang jauh-jauh segala kemungkinan buruk yang bakal terjadi.

“Ada tumor berdekatan paru-paru Fir.” Sepatah ayat itu terkeluar juga walaupun agak payah untuk Zafir menuturkannya. “Pembesarannya yang menyebabkan Fir susah nak bernafas.”

Serta-merta aku bungkam.

“Sejak bila?” Pendek aku menyoal. Tiada kata-kata yang mampu aku lafazkan lagi.

Dia memejamkan mata serapat-rapatnya.

“3 weeks ago.”

Aku mula dilanda sebak. Ingatanku melayang mengingati detik pertemuan kami yang lalu. Di hari aku melawatnya di rumah. Di saat dia memotong percakapan Adrina yang bagaikan ingin mengkhabarkan sesuatu. Adakah Adrina ingin memberitahu aku tentang perkara ini?

“Fir tahu dah banyak kali Fir sisihkan Har. Tipu Har. Tapi percayalah sayang, Fir lakukannya demi masa depan Har. Fir nak Har tamatkan pengajian tahun ni. Cuma tinggal semester ni saja, kan? Fir tak nak Har kecundang nanti. I’m sorry…” Panjang lebar penjelasannya. Cukup untuk membuatkan aku terharu.

Kenapa sampai begini sekali terjadi pada Zafir? Mula-mula cancer, lepas itu tumor. Lepas ini, entah apalagi penyakit yang melanda Zafir. Aku sudah tak sanggup mendengarnya. Adakah memang sudah ditakdirkan hayat Zafir di dunia ini tidak panjang?

“Uncle cakap dah 3 hari Fir sakit, kenapa Fir tak nak ke hospital sejak hari pertama dulu?”

Dia mendiamkan diri. Sikapnya itu membuatkan aku bingung. Perlukah aku terus mengutarakan pertanyaan padanya? Mencari jawapan kepada setiap persoalan yang bermain di mindaku? Tapi dia sedang sakit…

Akhirnya aku mengalah. Aku cuba membuang jauh-jauh setiap soalan yang berlegar-legar di mindaku.

“Apa yang doktor akan lakukan untuk ubati penyakit Fir?”

“For the time being, operation is the best hope. Untuk membuang tumor tu.”

“Bila?”

“Lusa.”

Cepatnya! Mindaku menjerit.

Dengan suara bergetar, aku bertanya “Operation tu akan menyembuhkan Fir, kan?”

“Mengikut doktor macam tulah.”

“Fir sanggup lakukannya?”

“Fir dah berbincang dengan family dan doktor sekali. Fir dah setuju nak lakukannya.”

“Har akan sentiasa di sisi Fir,” luahku.

Zafir tersenyum. “Bila Fir dah pulih, Fir nak tengok muka Har dulu.” Tangannya menyentuh lembut pipiku. “Dan sebelum Fir di bawa masuk ke bilik pembedahan nanti, Fir nak tengok wajah Har.”

Kolam mataku mula berkaca. “Selepas pembedahan ni selesai, bila Fir dah pulih sikit, Har nak Fir janji yang Fir akan fikirkan pasal pernikahan kita.”

“Kita cakap pasal ni lepas pembedahan tu selesai, ya sayang.” Tanganku digenggamnya erat lalu di bawa ke bibirnya dan dikucup lembut.

Kau Yang Ku Sayang ~ 13
Episod 13

MALAM sebelum pembedahan Zafir dijadualkan, aku tidak dapat melelapkan mata. Wajah Zafir sentiasa terbayang di fikiran. Sewaktu bersembahyang Subuh, tak henti-henti aku berdoa agar Zafir pulih daripada penyakitnya. Agar Zafir dapat meneruskan hidup. Agar kami dapat menunaikan impian kami.

Pembedahan Zafir dijadualkan pada pukul 10.00 pagi. Aku mengambil keputusan untuk bertolak lebih awal. Tanpa menunggu ahli keluarga lain terlebih dahulu, aku bergegas ke hospital. Aku mahu bertemu Zafir sebelum lelaki itu memasuki bilik pembedahan.

Aku berdiri di hadapan bilik Zafir ketika seorang jururawat sedang memeriksa kesihatannya. Sebelah lengannya disambungkan ke IV. Matanya terpejam rapat. Dadanya berombak perlahan, bagaikan seorang bayi yang sedang lena. Tetapi aku tak pasti samaada dia tidur atau pun tidak.

Perlahan-lahan aku menghampirinya. Nama Zafir kupanggil lembut. Tatkala itu, kelopak mata Zafir yang terpejam, bergerak perlahan-lahan. Teramat berat untuk dia membukanya, Namun digagahkannya juga. Aku benar-benar terharu.

“Cantiknya Har hari ni,” puji Zafir dengan suara tersekat-sekat. Sebuah senyuman diukirkan untukku.

Aku tahu Zafir sengaja berkata begitu. Keadaanku langsung tak terurus. Semalaman aku tidak boleh melelapkan mata. Sebelum ke sini pun, aku bersiap ala kadar sahaja.

“Kalau Fir dah pulih nanti, Har akan nampak lagi cantik.” Ujarku memberikan harapan.

“Har, ada perkara yang Fir nak cakap sebelum pembedahan ni dilakukan.”

“Perkara apa?”

“Fir nak Har tahu yang Fir redha dengan apa yang bakal terjadi dan Fir nak, Har pun sama. No matter what the outcome is.”

Dadaku serasakan sesak tiba-tiba. Aku tak mampu bernafas. Semput rasanya dadaku. Kata-kata Zafir seakan mengandungi maksud tertentu.

Cepat-cepat aku membalas, “Har yakin Fir akan selamat.”

“Har, andaikata jodoh kita tak ada, Fir akan sentiasa mencintai dan menyayangimu, sayang. I will love you for ever and ever. Don’t you ever forget…”

“Fir, jangan nak takutkan Har…” pintasku sebelum sempat Zafir menghabiskan kata-katanya. Aku tak mampu mendengar kata-kata Zafir yang seterusnya.

“Please, let me finish. Fir bukan nak takutkan Har. Fir cuma nak Har tahu walau apapun keputusannya nanti, Fir redha. Fir nak Har pun macam tu.”

“I can’t think of losing you. Don’t make me.” Ucapku tanpa dapat ditahan-tahan. Sebak dadaku tak tertanggung. Esakan kecil terlepas dari bibirku.

“Jangan menangis sayang. I want you to know that you’re the best part of my life and I will always love you.” Ucap Zafir berkali-kali. “Terima kasih sayang kerana sudi menyintai dan menyayangi Fir selama ni. Kehadiran Har amat bermakna dalam hidup Fir. Kebahagiaan yang Har berikan pada Fir, tak dapat Fir balas.”

“Fir…” Air mata mengalir laju membasahi pipi ini. Teresak-esak aku menangis. Tak dapat dibayangkan kehidupanku tanpa Zafir kelak. Takut aku memikirkan kemungkinan itu.

Kedengaran bunyi tapak kaki melangkah masuk ke dalam bilik Zafir. Cepat-cepat aku menyeka air mata. Cuma sendu yang kedengaran kini. Tiba-tiba sahaja aku panik, takut untuk melepaskan Zafir pergi.

“Kita jumpa lagi beberapa jam. Har akan tunggu Fir,” ucapku dalam sebak yang cuba ditahan.

Alis mata Zafir mula tertutup perlahan-lahan. Dia memejamkan matanya.

Air mata yang cuba ditahan sejak tadi, gagal dibendung. Dengan hati yang berat, aku beralih sedikit daripada katil Zafir untuk memberi laluan pada yang lain. Uncle Johan, Aunty Zuraidah dan Adrina mengambil alih tempatku. Aku berjalan ke arah sudut bilik. Melepaskan tangisku sambil menyandarkan diri di situ. Air mata mengalir di pipi tanpa henti. Walau diseka berkali-kali ia tetap membanjiri pipi ini.

Lebih kurang pada pukul 9.45 pagi, Zafir diusung dengan troli ke bilik pembedahan. Sebelum di bawa ke sana, dia sempat meminta pembantu hospital berhenti sebentar di koridor, di hadapan pintu masuk ke bilik rawatannya. Kelihatan teman-teman baiknya, Rizal, Fahmi dan Anuar menunggu di luar. Ibu, kakak, abang dan abahku turut serta menunggu di situ. Kedatangan mereka semata-mata untuk memberikan sokongan dan semangat kepada Zafir. Direnungnya wajah mereka yang berada di situ seketika.

Ketika Zafir ditolak pergi, aku hanya mampu memandang. Aku menghantar pemergian Zafir dengan pandangan sayu.

“Har… ada perkara yang Uncle nak cakapkan pada Har,” suara Uncle Johan menyapa telinga. Menyedarkan aku kembali ke dunia nyata.

“Boleh kita duduk di kerusi itu dulu?” ujarnya seraya mengarahkan tangan kanannya pada sederetan kerusi yang berada di hujung corridor.

Aku menyuruh ibu dan abah menantiku di bawah sebelum aku mengikut langkah Uncle Johan. Aku mengambil tempat bersebelahan Uncle Johan yang telah siap sedia menantiku. Ketika ini, hanya kami berdua di ruang corridor hospital ini kerana yang lain telah bergerak ke ruang menunggu di tingkat bawah.

Kedengaran Uncle Johan melepaskan nafas panjang. Bagai melepaskan sesak di dadanya. Dan aku setia menanti butir bicaranya.

“Zafir ada ceritakan pada Har kenapa dia dibenarkan pulang ke rumah?” Uncle Johan mengutarakan pertanyaan.

“Ada. Doktor Hadi yang benarkan dia pulang, kan?” Dadaku berdebar. Pertanyaan Uncle Johan seperti mengandungi maksud tersirat.

Uncle Johan menggeleng perlahan. Diurut dahinya beberapa kali. Hairan aku dengan tingkahnya.

“Biarlah Uncle berterus-terang dengan Har.”

“Berterus-terang mengenai apa?” Pantas aku menyoal. Sesungguhnya aku tidak mengerti apa yang cuba disampaikan oleh Uncle Johan.

“Doktor Hadi tak pernah membenarkan Zafir keluar dari wad. Bahkan Zafir sendiri yang memohon pada Doktor Hadi agar membenarkan dia pulang.”

Bulat biji mataku merenung Uncle Johan. Tidak percaya. Dan tanpa sempat aku bertanya, Uncle Johan meneruskan ceritanya.

“Har pun tahu, Zafir menghidap tumor. Hanya satu cara untuk pulihkan dia, iaitu melalui operation. Rela atau tidak dia perlu dibedah, sekiranya dia berkeinginan untuk terus hidup di bumi ini. Dan sebelum pembedahan itu dilakukan, dia ingin menjalani hidup seperti biasa. Menghabiskan masanya di rumah. Bersama keluarga, kawan-kawan dan Har. Disebabkan keinginannya yang melonjak itulah, dia merayu pada Doktor Hadi agar membenarkan dia kembali semula ke pangkuan kita, Har.”

“Adakah operation itu hari ini?” soalku.

“Tak. Sepatutnya hari Sabtu minggu hadapan.”

“Dah banyak rahsia yang dia sembunyikan dari Har. Penyakitnya, kesihatannya, pembedahannya…” Sesaknya nafasku ketika ini. Aku tak mampu menghabiskan kata-kataku.

“Bukan niat Zafir nak rahsiakan tentang penyakitnya dari Har. Pada mulanya, dia bercadang untuk memaklumkan pada Har masa Har datang ke rumah Uncle, 2 minggu lepas. Malangnya, apabila dia melihat Har ketawa dan gembira waktu itu, dia tak sampai hati nak membunuh kegembiraan yang terpancar di wajah Har. Katanya dah lama dia tak melihat Har segembira itu. Dan dia bahagia menyaksikan perubahan Har. Selepas itu, Uncle nasihatkan dia, supaya jangan terus merahsiakan perkara ini dari Har. Dan akhirnya, dia mengambil keputusan untuk memberitahu Har dua hari sebelum pembedahannya. Tapi… seperti yang Har sendiri tahu, penyakitnya menyerang terlebih dahulu hinggakan Doktor terpaksa mempercepatkan operation.”

Aku menundukkan wajah. Terasa sebak dengan kata-kata Uncle Johan. Rupa-rupanya hanya aku yang ketawa gembira pada hari itu, sedangkan dia… Perasaan bersalah menimpa diri. Kenapa tidak pernah aku sedar akan perasaannya waktu itu?

“Dan…” suara Uncle Johan terhenti sesaat.

Ada lagikah yang perlu aku tahu?

Dari ekor mataku, sempat aku menangkap bayangan Uncle Johan menyapu sesuatu di pipinya. Menangiskah dia? Tapi kenapa?

“Peluang Zafir untuk hidup selepas pembedahan ini selesai, amat tipis.” Bagaikan halilintar, ayat itu menerjah gegendang telingaku. Serta-merta aku mengalihkan pandangan ke arah Uncle Johan. Benar telahanku tadi, Uncle Johan sedang menangis.

Air mataku sendiri tanpa segan-silu, mengalir laju membasahi pipi. Menggeletar seluruh tubuhku. Lemah segala sendi. Benarkah perkhabaran yang di bawa Uncle Johan?

“Please uncle, katakan itu tak benar,” ujarku dalam sebak yang diiringi mutiara jernih yang setia menemaniku dari tadi.

Uncle Johan tidak membalas kata-kataku.

“Please uncle…” rayuku lagi. Saat ini aku benar-benar mendambakan Uncle Johan menyatakan, dia hanya bergurau. Kata-katanya itu sekadar untuk mengusikku. Untuk mendugaku.

Tetapi dia tetap mendiamkan diri. Dan hakikat yang begitu perit untukku telan, terpaksa jua aku terima. Patutlah Zafir beria-ia menyuruh aku redha menerima suratan yang bakal terjadi. Dia telah sedia maklum tentang untung nasibnya di bilik pembedahan nanti. Tabahkan aku menerima segala suratan ILAHI?

Tak tertahan menanggung sebak yang semakin kuat membelit hati dan perasaan, aku menekupkan kedua belah tapak tangan ke muka. Melempiaskan segala kesedihan yang aku rasai.

“Uncle beritahu Har kerana Uncle nak Har bersedia dengan apa jua keputusannya nanti.” Uncle Johan berkata kemudian.

Ya ALLAH! Kau selamatkanlah dia. KAU peliharalah dia sepanjang pembedahan ini. Sesungguhnya hanya kepada-MU lah tempat aku mengadu. KAU tunaikanlah doa dan harapanku ini, Ya ALLAH… aku berdoa di dalam hati.

Kau Yang Ku Sayang ~ 14
Episod 14

Masa berlalu. Kerisauan aku semakin menggila. Diri ini dirasakan semakin tegang. Hendak duduk, serasakan tidak kena. Hendak berdiri pun dirasakan tidak kena. Lama-kelamaan kulabuhkan jua punggung di kerusi yang disediakan, bersama-sama mereka yang lain di ruang menunggu. Tetapi, aku mengambil kedudukan yang agak jauh daripada mereka. Aku langsung tidak bertegur sapa dengan sesiapa.

Walaupun abang dan kakak malah Rohana dan Norlida datang menegur, aku tak mampu untuk berbual. Setiap masa aku dipalu dengan kerisauan. Akhirnya mereka meninggalkan aku sendirian di situ. Tetapi sebelum melangkah pergi, mereka sempat memberikan kata dorongan dan perangsang.

Lebih kurang pukul 1 tengahari, Abah cuba memujukku untuk makan tengahari, tapi aku menolak. Seleraku tiada. Lagipun aku tidak mahu berada jauh dari sisi Zafir pada saat ini. Aku merenung lantai yang memanjang di hadapan mata dan mendengar degupan jantungku sendiri. Langsung tidak ku pedulikan pada perkara lain yang terjadi di sekeliling.

Dua jam kemudian, seorang doktor menghampiri tempat kami menunggu. Aku tak pasti samaada dia terlibat ataupun tidak dalam pembedahan Zafir. Namun, apabila dia menghampiri Aunty Zuraidah dan Uncle Johan, aku yakin dia terlibat. Mereka bertiga bergerak ke tempat yang agak jauh dari orang lain. Mungkin apa yang ingin diperkatakan oleh doktor itu, terlalu peribadi.

Seketika kemudian, aku melihat Uncle Johan menggelengkan kepalanya dan secara tiba-tiba raungan Aunty Zuraidah bergema. Sepantas kilat, Adrina berlari ke arahnya mamanya. Dipeluk mamanya erat. Adakah apa yang bermain di fikiranku ini benar?

Segera aku menghampiri mereka bertiga, setelah doktor itu berlalu pergi.

“Uncle?” ujarku sepatah.

“Maaf Har, Zafir tak dapat diselamatkan,” ujarnya dalam sebak yang cuba di tahan.

Aku terpaku di situ buat seketika. Sebaris ayat itu cukup membuatkan aku hilang semangat dan kekuatan diri. Zafir telah pergi… pergi yang takkan kembali. Pilunya hati tidak tertanggung. Sebak semakin membalut hatiku. Dada serasakan mahu pecah. Dan air mata kembali membanjiri pipi. Aku tak punya kekuatan untuk menghadapi saat-saat begini. Aku tak berdaya. Di hadapanku kini terbentang sebuah kehidupan yang kelam, tak bercahaya. Sebuah kehidupan tanpa kehadiran Zafir untuk menceriakannya. Aku tak pasti samaada aku mampu menghadapinya.

Aku mendengar bisikan-bisikan suara di sekeliling, semuanya seolah-olah begitu asing bagiku. Tidak satu pun diambil tahu. Perlahan-lahan aku berdiri dan melangkah meninggalkan semua yang ada di situ. Tidak tahu kemana arah kakiku melangkah. Aku hanya berjalan.

Perkarangan pintu masuk utama hospital telah kulewati. Tapi langkah kakiku masih tidak berhenti. Akhirnya, aku terhenti di hadapan sebuah bangku di perkarangan hospital. Terduduk aku disitu. Air mata yang mengalir langsung tidak diseka.

Begini akhirnya episod cinta kami. Belum pun sempat kami mengecapi impian untuk hidup bersama. Mengapa harus dia yang pergi dulu? Esakan yang mulanya perlahan bertukar menjadi kuat. Kuluahkan segala tangisan dan hibaku di situ. Betapa pilu dan pedihnya hati ini hanya Tuhan yang tahu…

= = = = = N = = = = =

RUMAH Zafir diselubungi dengan suasana sayu. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan penghuninya. Aunty Zuraida, Uncle Johan dan Adrina sentiasa menemani jenazah Zafir dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Buat mengiringi pemergian insan tersayang. Begitu juga aku yang masih terjelepok kesedihan turut sama menyimpuh di sisi katil dengan Al-Quran ditangan. Dari saat mayat arwah Zafir dibawa pulang kerumah, tidak sedikit pun aku berganjak dari tempat dudukku.

Selepas dimandikan dan dikafankan, jenazah Zafir diusung ke masjid berdekatan untuk disembahyangkan. Hatiku merintih pilu saat menyaksikan jenazah Zafir di bawa pergi. Dia akan berpisah dariku buat selama-lamanya.

Jenazah Zafir dikebumikan di tanah perkuburan. Ramai sanak-saudara dan teman-temannya yang mengiringi pemergiannya. Untuk memberikan penghormatan terakhir terhadap arwah. Aku yang turut serta semakin tidak berdaya. Dari saat berita kematian Zafir diterima hinggalah saat Zafir dikebumikan, air mataku tidak henti-henti mengalir. Kalaupun berhenti, hanyalah untuk sementara, kerana tangisan itu akan tetap bersambung kembali.

Malamnya, selesai kenduri tahlil, aku dibawa pulang ke rumah oleh ibu dan abah. Sebaik tiba di rumah, aku terus menghayun langkah kaki ke arah bilik tidur. Baju kurung yang dipakai sejak tadi, ditukar. Kugantikan dengan sehelai pijama. Kemudian, aku berbaring di atas katil.

Mataku memandang setiap penjuru bilik. Gelap. Segala-galanya yang dipandang langsung tidak membawa apa-apa makna padaku. Kosong. Semakin diingatkan Zafir, semakin sakit, semakin menggigit kesengsaraan yang kualami ini.

Kupejamkan mata. Melayangkan fikiranku jauh mengimbas kenangan antara aku dan dia. Air mata berjurai-jurai jatuh membasahi pipi dan aku menangis tersedu-sedan di atas katil.

Terasa betapa kecilnya aku saat itu. Sempitnya dunia ini kurasakan. Segalanya dirasakan semakin menghimpit perasaan dan nafasku sesak menahan sendu. Ya ALLAH! Bantulah hamba-Mu, bantulah aku yang menghadapi dugaan dan ujian-Mu, berilah aku kekuatan Ya ALLAH. Bisikku seorang diri.

Air mata berlinang lagi. Serasakan baru semalam Zafir bergurau-senda denganku. Serasakan kelmarin aku berkongsi cerita dengan Zafir. Ke manakah hilangnya segala kebahagiaan dan kegembiraan itu? Aku cuba mengembalikan kekuatan diri. Tapi usahaku sia-sia apabila kerinduan dan ingatan terhadap Zafir menggamit seluruh ruang hati dan perasaan ini.

Beberapa ketika kemudian, kedengaran ketukan di pintu bilik. Seraut wajah ibu muncul. Cahaya terang dari koridor menyimbah masuk ke dalam bilikku yang gelap. Aku memalingkan muka apabila cahaya tersebut menyilaukan pandangan mata.

“Dina…” Ibu duduk di birai katil. “Sayang… ada apa-apa yang Dina nak..” ajunya sambil membelai rambutku lembut.

“Dina nak Zafir,” ucap aku dalam esak tangis. Ya ALLAH, berdosanya aku berkata begitu. Seakan aku tak redha dengan pemergiannya. Cepat-cepat aku beristighfar di dalam hati.

“Dina… jangan macam ni. Ibu faham perasaan Dina. Tapi, Dina kena ingat, sedalam mana pun sayang Dina pada Zafir, ALLAH lebih mengasihinya. Redhakanlah pemergian dia, Dina.” Nasihat ibu.

“Dina nak tidur, bu.” Aku berkata perlahan. Selimut di hujung katil ditarik ke atas sehingga menutupi keseluruhan tubuhku. Beberapa minit kemudian, kedengaran pintu bilik ditutup.

“Zafir,” Aku berbisik dalam kegelapan. “Har rindukan Fir… rindu teramat,” tangisku lagi.

= = = = = N = = = = =

SUDAH hampir seminggu Zafir kembali ke rahmatullah. Setiap petang, semenjak enam hari yang lalu aku berteleku di meja taman di halaman rumah. Mengimbas kenangan yang terindah yang pernah aku dan Zafir kecapi. Amat payah untukku hilangkan kenangan itu. Hampir setiap saat dan ketika ia akan datang menggamit hati dan sanubari ini. Sudah habis air mataku ditumpahkan menangisi pemergian Zafir.

Kakak dan abang datang menziarah hari ini. Aku tahu abah yang menyuruh mereka pulang. Pulang untuk menjenguk adik mereka yang seorang ini. Adik yang masih dalam keadaan tertekan. Aku bersalah kerana membuatkan abah dan ibu risau. Maafkan Dina… abah, ibu. Fikiran Dina masih tak tenteram… Dina masih mencari arah hidup dan ketenangan tika ini.

Telingaku menangkap bunyi derapan tapak kaki menghala ke tempatku sedang menyendiri. Ku toleh sekilas. Kakak. Apa mahunya? Dia mengambil tempat duduk di kerusi bersebelahan denganku.

“Kenapa Dina duduk sorang-sorang kat sini?” Lembut suaranya menegur.

Aku diam membisu. Sepatah pun aku tak membalas pertanyaannya. Kakak membelai lembut rambutku yang separas bahu.

“Akak tahu Dina sedih. Akak pun sedih jugak. Tapi orang yang dah pergi, tetap pergi. Kita yang hidup kena teruskan kehidupan kita.” Ujar kakak lagi apabila aku langsung tak bersuara.

Terus-terusan aku mengunci bibir. Ku merenung pokok bunga ibu yang ditanam di pinggir pagar. Beberapa ekor rama-rama hinggap menghisap madu. Berserinya bunga itu ada rama-rama yang sudi datang menemaninya. Tiba-tiba aku terkenangkan sikap Zafir yang gemar menghadiahkan aku bunga mawar setiap kali dia memujukku. Alangkah indahnya memori itu. Segalanya terakam kemas di minda.

Aku terdengar kakak mengeluh perlahan. Di waktu itu juga, abang datang menghampiri kami. Dia mengambil tempat duduk betul-betul di hadapanku. Aku cuba melarikan anak mataku dari berpandangan dengannya.

“Abang sedih tengok Dina seksa diri sendiri.” Ujar abang memulakan kata. “Sampai bila nak begini? Dah tujuh hari arwah pergi. Abang tengok dari hari kematian Zafir sampai sekarang, Dina still tak berubah. Bercakap pun tak. Makan pun tak tentu. Ibu dengan abah tu, lagi risau tengok Dina macam ni. Kalau tak kesiankan diri sendiri pun, kesiankanlah mereka.”

Aku melemparkan pandangan ke luar rumah. Tak mahu menatap wajah abang. Seakan ingin aku katakan pada mereka supaya meninggalkan aku sendirian. Aku masih tak mampu berbicara. Kehilangan Zafir terlalu menyeksa jiwa.

Rimas dengan keadaan itu, aku mengambil keputusan untuk mengurungkan diri di dalam bilik. Baru aku berfikir untuk bangun, kedengaran enjin kereta memasuki perkarangan rumah. Serentak abang dan kakak berpaling. Aku langsung tidak menoleh melihat kedatangan tetamu di waktu petang begini. Niatku untuk ke bilik, terhenti.

Pintu kereta pemandu dibuka. Suara orang memberi salam kedengaran lantang. Aku kenal suara itu. Uncle Johan! Segera aku berpaling. Dia tersenyum mesra ke arah kami. Pintu di sebelah penumpang juga terbuka. Seketika kemudian, muncul Adrina berjalan ke arah kami sambil memegang sesuatu.

Uncle Johan memerhatikan wajahku. Ditenung lama. Aku jadi menggelabah. Teruk sangatkah keadaanku kini?

“Har sihat?” tanyanya.

“Alhamdulillah,” Aku berbohong. Suaraku serasakan tersekat di kerongkong. Aku tak pasti dia mendengarnya atau tidak.

“Har… uncle harap Har tak menyeksa diri sendiri. Kalau rasa hati tak tenang, sentiasa berzikir dan bertasbih pada Allah. Ingat DIA selalu. Insya-ALLAH… hati Har akan lebih tenang dan damai lepas tu.”

Aku mengangguk tanda mengerti. Tiada kata-kata yang dilafazkan.

“Abah dengan ibu ada?” tanya Uncle Johan kemudian.

“Ada kat dalam. Uncle masuklah dulu.” Usul abang. Dia bangun dari tempat duduknya. Beriringan dia berjalan dengan Uncle Johan masuk ke dalam rumah.

“Buat apa kat sini?” Adrina yang mendiamkan diri dari tadi bertanya. Tangan kakak dicapai lalu diciumnya lembut. Diulangi perbuatan yang serupa padaku. Kerusi abang yang kosong ditinggalkan, didudukinya.

“Saja sembang-sembang, temankan Kak Har,” sahut kakak.

“Kak Har, apa khabar?” tanya Adrina padaku. Perlukah aku menjawab soalan itu? Sihatkah aku? Tiada jawapan pasti yang dapat kuberikan. Namun ku jawab jua, “Baik.” Tiada semangat langsung pada nada suaraku.

“Tujuan Rina datang ni, nak bagi sesuatu pada Kak Har.” Tanpa menunggu lama, dia terus menyampaikan hajat dan tujuannya ke mari. Diletakkan sebuah kotak hadiah dan sekeping surat di hadapanku.

Tak berkelip aku merenung Adrina. Terkejut dengan pemberian yang tak disangka. Kukerling sekilas kotak hadiah yang berwarna merah jambu itu dan surat yang berada di atasnya.

“Ambillah. Abang yang suruh Rina berikan pada akak sebelum dia meninggal.”

Tersentak aku memandangnya. Benarkah? Tapi untuk apa? Pantas tanganku mencapai surat bersampul biru dahulu. Bucu surat tersebut kukoyak rakus. Kukeluarkan isinya. Tulisan tangan Zarif menyapa pandangan. Terus aku membaca isi kandungan surat tersebut.

Assalamualaikum Warahmatullah,

Menemui insan yang satu-satunya bertakhta di hati, Hardina…

Apa khabar sayang? Harapan Fir semoga Har sihat. Mentally and physically. Surat ini Fir coretkan di waktu pagi sebelum Fir dijadualkan menjalani pembedahan. Fir tak tahu samaada peluang untuk Fir terus bernafas di bumi Allah masih ada atau tidak kerana peluang untuk pembedahan ini berjaya amat tipis. Fir tak pernah maklumkan perkara ini pada Har, kan? Fir mohon maaf. Dan seandainya surat ini berada di tangan Har, itu bermakna Fir sudah tiada lagi di alam fana ini.

Kelopak mataku mula memberat. Terasa pedih tiba-tiba.

Har yang disayangi,
Sesungguhnya setiap pertemuan ada perpisahan. Dan langsung tak pernah terlintas di hati Fir kita akan berpisah di kala cinta kita masih kuat dan utuh di hati masing-masing. Inilah dugaan Allah untuk kita, Har. Telah Fir pujuk hati untuk menerima apa jua suratan Ilahi. Tetapi Fir takut sekiranya Har tak dapat menerima kenyataan. Di benak ini sering tertanya-tanya bagaimanakah kehidupan Har setelah Fir tiada di sisi. Mampukah Har menghadapinya sendirian? Ketahuilah sayang, hati ini sentiasa sarat dengan cinta dan kasih sayang Har… hingga ke nafas terakhir Fir di dunia ini.
Maaf sekali lagi… kerana Fir tak dapat menunaikan impian kita untuk hidup bersama, mengakhiri cinta kita dengan bahtera perkahwinan. Dan juga kerana Fir tak dapat nak membahagiakan Har sehingga ke akhir hayat Har dan terima kasih yang teramat Fir ucapkan buat Har sebab sudi membahagiakan hidup Fir sehingga ke akhir hayat ini. Sesungguhnya di saat-saat akhir kehidupan ini, Fir bersyukur sangat sebab ada family, kawan dan Har terutamanya di sisi untuk bersama-sama berkongsi penderitaan ini. Segala pengorbanan dan kesetiaan yang Har curahkan, amat bermakna buat Fir. Terasa betapa dalamnya cinta dan kasih sayang Har. Fir bahagia yang teramat. Terima kasih banyak-banyak sayang…

Pandangan mataku pada surat itu mula dikaburi air mata. Ku gagahkan jua membaca sehingga ke penghabisan.

Har yang dikasihi,
Fir harap Har tabah menghadapi dugaan ini. Sentiasalah mengingati ALLAH dan bertawakal kepada-NYA, sesungguhnya hanya pada-NYA tempat kita mengadu dan memohon pertolongan. Har binalah hidup baru. Har masih muda, terlalu banyak yang belum Har kecapi dalam hidup ini. Fir juga mendoakan agar Har akan bertemu dengan seseorang yang mampu mengubat hati Har dan seterusnya membahagiakan dan menggembirakan hati Har kelak. Sebagai pengganti diri Fir yang tak dapat menjaga dan membahagiakan Har sepanjang hayat dan seterusnya bakal menunaikan impian Har untuk hidup bersama insan tersayang.
Satu permintaan Fir, tolonglah jengok-jengokkan family Fir. Anggaplah mereka seperti family Har sendiri. Jaga, didik dan bantulah Rina. Dia tiada tempat untuk mengadu. Anggaplah dia seumpama adik kandung Har sendiri. Fir tak sempat nak menjaga dan mendidik dia dengan sebaik-baiknya.
Seperkara lagi, seandainya mengingati Fir hanya menambah luka di hati Har, lupakan Fir buat selama-lamanya. Redhakanlah pemergian Fir…
Wassalam.

Salam Sayang,
Zafir.

Aku terhenyak di kerusi. Menitis jua air mata ini. Setitik demi setitik membasahi warkah terakhir pemberian Zafir. Sayu hatiku membaca surat itu. Sebak dan sedih bercampur baur. Ku kesat air mata dengan hujung t-shirt lengan panjang yang aku pakai.

Aku mencapai bungkusan hadiah yang berada di atas meja. Lalu mengoyak pembalutnya. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat isi kandungan kotak itu. Di dalamnya tersisip rapi sebuah kotak cincin berbaldu merah dan sebuah bingkai gambar. Sekuntum bunga mawar yang telah dikeringkan diframe kemas di dalamnya.

Aku mencapai pula kotak cincin lalu membukanya. Sebentuk cincin emas putih bertatah berlian, bersinar indah di dalamnya. Aku terkedu. Air mata menitis lebih laju. Bibirku bergetar hebat. Sebak menyelubungi keseluruhan hati ini.

“Akak, cincin tu abang beli dah lama. Sebelum dia disahkan menghidap cancer lagi. Abang pernah beritahu mama, dia nak meminang akak hujung tahun ni. Tapi sekarang…” Ayat yang dituturkan Adrina terhenti.

Aku terus tersedu-sedan di situ. Pilunya hati mendengar hajat yang tak kesampaian. Terhenjut-henjut tubuhku menangis. Ku pekup tangan di mulut agar esakan ku tak kedengaran.

“Akak,” panggil Rina dengan suara yang bergetar.

Aku mengangkat wajahku yang basah lencun dengan air mata. Ku lihat kolam mata Adrina turut berkaca. Pantas aku bangun menghampirinya, kupeluk dia seerat-eratnya. Adrina membalas. Aku menyambung tangis di bahunya. Adrina turut mengalirkan air mata, begitu juga kakak yang sedari tadi hanya memerhati. Esakannya yang perlahan menyapa lembut di telingaku.

“Mulai hari ini Rina adik akak. Akak akan sentiasa di sisi Rina.” Janjiku padanya bersama esak tangis yang panjang.

Fir… tahukah Fir betapa seksa dan deritanya Har? Setiap saat dan ketika hanya Fir di ingatan. Sudah puas Har cuba tabahkan diri ini, tapi Har hanya seorang insan yang lemah. Seorang insan yang tak berdaya. Har tak kuat nak menghadapi dugaan ini. Dan permintaan Fir agar Har melupakan insan yang selama ini terpahat kukuh di hati, terlalu mengguris hati ini. Sedarkah Fir? Biarpun sedalam mana luka dan kesakitan yang Har rasakan tiapkali wajah Fir terlukis di ingatan, takkan sesekali Har lupakan Fir. Hingga ke akhir hayat ini, nama Fir akan tetap bersemadi di jiwa. Desisku di dalam hati.

Kini…
Yang tinggal hanyalah kegelapan…
Membiaskan warnanya ke segenap alam
Kini…
Yang tinggal hanyalah kesepian…
Memenuhi dan mengasak setiap ruang dan ketika
Kini…
Yang tinggal hanyalah kenangan…
Menggamit dan mengheret ke lembah duka yang tak bertepi
Kini…
Yang tinggal hanyalah bahang cintamu…
Yang akan sentiasa menghangatkan cintaku dan rinduku padamu
Buat selamanya…


- T A M A T -